“Suara itu hanya kejap, lepas tu senyap”, bapa reda hilang anak bongsu menjelang raya Cina

TAMPIN – Tangisan dan penyesalan masih menyelubungi keluarga Lye Hoi Guan, 48, apabila detik terakhir anak bongsunya yang lemas selepas terjatuh ke dalam pembetung di Jalan Bunga Tanjung, di sini, terus menghantui ingatan mereka.

Hoi Guan berkata, suara anak bongsunya, Lye Yun Kee, 14, yang memanggil nama abangnya hanya kedengaran seketika sebelum hilang, selepas motosikal dinaiki dua beradik itu terjatuh ke dalam pembetung yang sedang dalam pembinaan, malam semalam.

“Masa baru jatuh, anak bongsu saya sempat panggil nama abangnya. Tapi sekejap sahaja, lepas itu senyap. Saya tahu waktu itu, sesuatu yang buruk telah berlaku,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tampin, hari ini.

Menurutnya, anak sulung berusia 17 tahun yang menunggang motosikal berkenaan sempat menghubunginya sejurus kejadian berlaku dan beliau tiba di lokasi dalam tempoh kira-kira lima minit.

“Bila saya sampai, anak bongsu saya sudah tenggelam. Suaranya sudah tidak kedengaran. Kami cuba cari, tapi keadaan terlalu gelap dan berbahaya,” katanya dengan nada sebak.

Hoi Guan berkata, kehilangan Yun Kee amat dirasai kerana anaknya itu dikenali sebagai seorang yang berdisiplin dan bertanggungjawab, malah terpilih sebagai pengawas di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Pulau Sebang tahun ini.

“Dia anak yang baik, rajin dan sentiasa dengar kata. Sebab itu kejadian ini sangat menghancurkan hati kami sekeluarga,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak kontraktor yang menjalankan kerja pembetungan di kawasan berkenaan lebih bertanggungjawab dengan memastikan aspek keselamatan pengguna jalan raya diberi keutamaan.

“Jangan tunggu sampai ada lagi nyawa melayang. Jalan itu selalu digunakan orang awam, termasuk pelajar,” katanya.

Tambahnya, keluarga mereka turut mengambil keputusan untuk tidak meneruskan sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba berikutan masih dalam keadaan berduka akibat tragedi berkenaan.

BACA JUGA:  Ustazah Asma’ sebak, sikap pemaaf bapa pelajar maut dirempuh guru undang perhatian ramai

“Kami masih bersedih. Buat masa ini, tiada hati untuk menyambut apa-apa perayaan,” katanya.

Raihan Hazizi
Raihan Hazizi
raihanhazizi@portalmyberita.com

TRENDING

Suspek kes kurung, liwat remaja 14 tahun berjaya diberkas

KUALA LUMPUR - Pemburuan selama lima hari terhadap seorang...

Haroqs hanyutkan coklat ke laut demi anak-anak Gaza

KUALA LUMPUR - Pempengaruh media sosial, Muhammad Hareez Adzrami...

Tiada penyingkiran, Pak Azad & Amarra Sofea terselamat minggu kelima TTMM2

SHAH ALAM - Pasangan Pak Azad dan Amarra Sofea...

‘Travel around the world’ warnai Hari Guru Sekolah Sultan Alam Shah 2026

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Sultan Alam...

Aidiladha di Malaysia disambut 27 Mei ini

KUALA LUMPUR - Umat Islam di seluruh Malaysia akan...