KUALA LUMPUR – Tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan permulaan ibadah puasa tahun ini ditetapkan pada petang Selasa, 17 Februari 2026 bersamaan 29 Syaaban 1447 Hijrah.
Jabatan Penerangan dalam satu kenyataan media memaklumkan, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja telah membuat ketetapan itu bagi menyempurnakan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Menurut kenyataan itu, proses cerapan anak bulan akan dilaksanakan di 29 lokasi strategik di seluruh negara termasuk Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka; serta Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Selain itu, beberapa lokasi lain di Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Kelantan, Pahang, Sarawak, dan Sabah turut terlibat, termasuk Menara Kuala Lumpur serta Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
“Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan Tarikh Awal Ramadan adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab,” jelas kenyataan itu.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan tarikh rasmi permulaan Ramadan pada malam tersebut melalui siaran radio dan televisyen.

