JOHOR BAHRU – Sebuah bas ekspres yang membawa 10 penumpang terbabas sebelum terbalik di tepi jalan di Kampung Sepakat Baru, Batu 11 selepas susur keluar Plaza Tol Skudai, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu, bas berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di bahu jalan.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada pukul 8.20 malam.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai bersama sebuah jentera segera dikejarkan ke lokasi kejadian dan jentera pertama tiba kira-kira sembilan minit kemudian.
âSeramai 10 mangsa terlibat termasuk pemandu bas. Dua penumpang didapati tersepit di dalam bas dan anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa,â katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, seorang lagi mangsa yang turut tersepit berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian.
âPemandu bas serta dua mangsa lain mengalami kecederaan namun tidak tersepit, manakala empat mangsa lagi hanya mengalami kecederaan ringan,â katanya.
Kesemua mangsa diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut, manakala operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada pukul 9.14 malam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Menurutnya, bas ekspres berkenaan sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru ketika kemalangan berlaku. – MYBERITA

