KUALA LUMPUR – Tular tindakan seorang penghantar makanan yang hanya meminta doa untuk anaknya yang sedang diuji dengan masalah kesihatan menyentuh hati ramai pihak.
Perkongsian itu dimuat naik seorang pengguna Threads, @Ehhfieyra, yang memaklumkan bahawa lelaki berkenaan tidak meminta sebarang tip atau bantuan kewangan, sebaliknya hanya memohon agar pelanggan mendoakan anaknya.
“Masa order makanan dekat Grab, abang rider tu minta satu saja, tolong doakan untuk anak dia. Tak mampu tolong banyak, tapi doa kita semua insya-Allah sampai. Jom sama-sama doakan anak dia diberi kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan,” katanya.
Menurut tangkap layar mesej yang disertakan, anak lelaki berusia lima tahun itu kini menghidap penyakit kanser darah, dan penghantar makanan tersebut memohon agar orang ramai mendoakan kesihatannya.
View on Threads
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata netizen tersentuh dengan permintaan lelaki itu, malah ada yang ingin memberi sumbangan bagi meringankan beban keluarga berkenaan.
“Semoga segala urusan Encik Muhammad Khairi dipermudahkan dan diberi rezeki yang tidak berpenghujung olehNya. Semoga adik Nur Alysa Rafina diberi kesembuhan,” kata seorang pengguna.
“Ya Allah kesiannya. Mesti dia taktahu nak luah dekat siapa dah kan. Semoga adik Nur Alysa Rafina diberi kesembuhan dan diangkat sakitnya oleh Allah. Moga Abang Khairi diberi rezeki yang tak pernah putus-putus disebabkan kesabaran dalam ujian ini,” kata seorang lagi pengguna.
“Bagus dia, dia tak nak duit, cuma perlu doa. Betul-betul ikhlas,” tambah seorang pengguna.
Kisah ini menjadi pengingat bahawa sokongan dan doa daripada orang ramai mampu memberi semangat kepada mereka yang diuji dalam kehidupan. –MYBERITA

