KUALA LUMPUR – UMNO Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagai asas kedaulatan negara, susulan mesyuarat Biro Politik parti itu yang berlangsung pada 29 April 2026.
Dalam kenyataan media oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, mesyuarat tersebut memutuskan bahawa parti kekal berpegang teguh kepada Perlembagaan UMNO, khususnya Fasal 3.1 yang menekankan kepentingan mempertahankan institusi berkenaan sebagai tonggak utama negara.
Pada masa sama, UMNO menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan terkini yang melibatkan krisis Institusi Raja dan adat di Negeri Sembilan, yang didakwa telah mencetuskan polemik serta salah faham dalam kalangan parti komponen yang membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri tersebut.
Menurut kenyataan itu, pihaknya turut mengambil maklum penjelasan daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berhubung tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional yang hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar negeri berkenaan.
Ia dikaitkan dengan dakwaan sikap kepimpinan negeri yang dilihat membelakangkan Institusi Adat serta Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.
Sehubungan itu, UMNO menyatakan pendirian untuk menghormati keputusan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional yang masih tidak mempercayai Menteri Besar, namun pada masa sama kekal menyokong Kerajaan Perpaduan demi menjamin kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat di negeri tersebut.
“Dalam usaha meredakan ketegangan dan mencari penyelesaian, UMNO turut mencadangkan agar satu pertemuan segera diadakan antara Biro Politik UMNO dan Pakatan Harapan. Langkah itu bertujuan merungkai isu-isu berbangkit yang melibatkan prinsip perjuangan kedua-dua pihak,” kata kenyataan tersebut.
Cadangan tersebut selaras dengan Klausa 5(c) dalam Perjanjian Persefahaman pembentukan Kerajaan Perpaduan yang menetapkan bahawa sebarang perbezaan dasar perlu diselesaikan melalui Majlis Perundingan.

