KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 akan berlangsung pada 20 Jun depan di Pulau Pinang dengan mengetengahkan tema ‘Media Berintegriti, Teras Kredibiliti’ bagi memperkukuh peranan pengamal media sebagai tonggak penting dalam pembangunan negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sambutan tahunan itu akan diadakan di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan pengamal media di negara ini.
Menurut beliau, tema yang dipilih mencerminkan kepentingan integriti dalam kewartawanan bagi memastikan penyampaian maklumat yang tepat, beretika dan dipercayai oleh masyarakat.
“Ada pelbagai pengisian sepanjang sambutan HAWANA kali ini, bermula dengan Forum Media di Kuala Lumpur, esok. Butiran lanjut pengisian HAWANA 2026 akan diedarkan kepada pihak media.
“Maklumat lanjut juga boleh diperoleh menerusi portal rasmi HAWANA di hawana.my,” katanya dalam Sidang Media Mingguan di Angkasapuri Kota Media.
Beliau turut memaklumkan bahawa Majlis Kemuncak Sambutan HAWANA 2026 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, logo rasmi HAWANA 2026 menampilkan elemen ikonik Jambatan Pulau Pinang sebagai simbol identiti negeri tuan rumah yang kaya dengan sejarah, warisan serta kemodenan.
Sambutan HAWANA yang dianjurkan setiap tahun merupakan platform penting untuk mengiktiraf peranan wartawan dan pengamal media dalam menyampaikan maklumat yang sahih serta membina masyarakat berinformasi.

