KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan penghargaan kepada guru-guru yang menjadi tunjang penting dalam membentuk generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing demi masa depan negara.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Seri Paduka Baginda, baginda berdua menzahirkan penghargaan atas pengorbanan, kesabaran dan dedikasi para guru dalam menyampaikan ilmu selain memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan anak bangsa.
Dalam kenyataan sama, baginda berdua menzahirkan harapan itu sempena sambutan Hari Guru, hari ini selain berharap agar kebajikan warga pendidik terus diperkasa dan dipertingkatkan bagi memastikan bidang perguruan kekal dihormati serta mampu melahirkan generasi rakyat Malaysia yang cemerlang.

