SHAH ALAM – Penyanyi dangdut terkenal, Sheeda mengakui dirinya kembali diuji apabila menantu kesayangannya disahkan menghidap kanser payudara tahap empat, selepas kehilangan anak tercinta dua tahun lalu.
Menurut Sheeda atau nama sebenarnya Sayyida Beevi, 62, dia baru sahaja cuba bangkit daripada kesedihan yang dialami susulan pemergian anaknya akibat penyakit kronik.
Katanya, selepas tragedi itu, anak lelaki bersama menantu serta cucunya tinggal bersamanya bagi menghilangkan rasa sunyi dan memberi sokongan emosi.
Namun, Sheeda tidak menyangka keluarganya sekali lagi diuji dengan berita menyedihkan apabila menantunya disahkan menghidap penyakit tersebut.
“Bila mereka ada bersama saya, sedikit sebanyak dapat mengubat rindu kepada arwah anak.
“Tetapi sekarang saya perlu kuat sekali lagi apabila menantu pula sakit,” katanya.
Sheeda berkongsi perkara itu selepas selesai membuat persembahan bersama Ammara dalam program Talk To My Manager musim kedua, malam tadi.
Dalam pada itu, penyanyi berkenaan turut mengakui kehilangan anaknya memberi kesan besar terhadap kesihatan mental sehingga dia mengalami trauma untuk bertemu orang ramai selain takut dengan suasana hospital dan ambulans.
Tambahnya, kenangan bersama arwah anak masih segar dalam ingatan kerana mereka sangat rapat dan tinggal bersama sebelum ini.
Terdahulu, anak ketiga Sheeda, Nurfazlinda Ahmad Fazli, dilaporkan meninggal dunia akibat kanser hati pada tahun 2024.

