MARA tuntut RM857,000 daripada ‘student scholar’ gagal selesai PhD di Cambridge

KUALA LUMPUR – Seorang wanita bersama tiga ahli keluarganya yang bertindak sebagai penjamin diperintahkan membayar semula pinjaman pelajaran berjumlah RM857,000 kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) selepas gagal menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) di University of Cambridge dalam tempoh ditetapkan.

Keputusan itu dibuat Mahkamah Tinggi selepas menolak rayuan yang difailkan oleh wanita berkenaan dan tiga penjaminnya terhadap penghakiman Mahkamah Sesyen yang sebelum ini memihak kepada MARA.

Pesuruhjaya Kehakiman Darmafikri Abu Adam dalam penghakiman bertulisnya berkata, mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuan tersebut dan tiada alasan untuk campur tangan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen.

“Dapatan Mahkamah Sesyen adalah munasabah, disokong oleh keterangan dan tidak menunjukkan sebarang kesilapan yang nyata,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan perayu membayar kos sebanyak RM10,000.

Gagal Tamatkan Pengajian Walaupun Diberi Lanjutan

Menurut rekod kes, Siti Norbaya Ahmad Nor, 45, menerima pinjaman pertama daripada MARA pada 2011 bagi mengikuti pengajian Sarjana di University of Manchester sebelum memperoleh pinjaman kedua pada 2013 untuk melanjutkan pengajian PhD di University of Cambridge.

Tiga ahli keluarganya iaitu Siti Zaliha Ahmad Nor, Siti Farhana Ahmad Nor dan Jamilah Long bertindak sebagai penjamin bagi kedua-dua pinjaman tersebut.

Mahkamah dimaklumkan bahawa Siti Norbaya gagal menamatkan pengajian PhD dalam tempoh empat tahun seperti yang ditetapkan dalam perjanjian pinjaman.

Malah, menerusi surat bertarikh 15 Februari 2017, beliau mengakui tidak dapat menamatkan pengajian dalam tempoh penajaan dan diberikan lanjutan sehingga Ogos tahun sama. Namun, beliau masih gagal menyempurnakan pengajian berkenaan.

Pelanggaran Kontrak

Dalam penghakimannya, Darmafikri menegaskan bahawa syarat dalam perjanjian pinjaman adalah mengikat dan perlu dipatuhi oleh semua pihak.

Beliau berkata, kegagalan menamatkan pengajian dalam tempoh empat tahun tujuh bulan merupakan satu pelanggaran kontrak yang membolehkan MARA menuntut semula keseluruhan jumlah pinjaman.

BACA JUGA:  Bayar ansuran untuk kahwin di Siam, taktik ejen dikecam ramai

“Oleh itu, MARA berhak menuntut bayaran balik bagi keseluruhan jumlah pinjaman berdasarkan terma yang terkandung dalam perjanjian pinjaman 2013,” katanya.

Tuntutan Tidak Terhalang Had Masa

Mahkamah turut menolak hujahan perayu bahawa tuntutan MARA telah melepasi tempoh had masa di bawah Akta Had Masa 1953.

Menurut Darmafikri, MARA mempunyai budi bicara untuk menentukan tarikh pembayaran balik dan tindakan undang-undang yang difailkan pada tahun 2022 masih berada dalam tempoh yang dibenarkan undang-undang.

Beliau juga menegaskan bahawa sebarang status “kemasukan semula” yang diberikan oleh pihak universiti tidak mengikat MARA dan tidak mengubah kewajipan peminjam untuk mematuhi syarat perjanjian.

Sehingga tarikh perbicaraan, mahkamah mendapati Siti Norbaya masih belum menamatkan pengajian PhD beliau, sekali gus menyebabkan beliau dan para penjamin bertanggungjawab membayar semula keseluruhan pinjaman yang diterima.

Sumaiyah Safiah
Sumaiyah Safiah
saf@portalmyberita.com

TRENDING

Kumpulan pertama jemaah haji selamat tiba di KLIA

SEPANG - Kumpulan pertama seramai 329 jemaah haji selamat...

Minyak hampir habis tak halang pemuda ini jadi wira ‘escort’ ambulans ke hospital

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang penunggang motosikal membantu membuka...

Ibu mengaku salah campak bayi dari tingkat 10

JOHOR BAHRU – Seorang ibu muda mengaku bersalah di...

DUN Johor dibubar, laluan PRN ke-16 bermula

JOHOR BAHRU – Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor secara rasmi...

Anggrek, Azeva terselamat daripada penyingkiran TTMM2

SHAH ALAM - Konsert minggu ketujuh program realiti hiburan...