GEORGE TOWN – Filem Konspirasi kembali menjadi bualan hangat industri apabila pengarahnya mendedahkan sehingga kini masih belum ada keputusan muktamad mengenai status tayangan filem berkenaan selepas ia ditarik daripada pawagam sebelum ini.
Menurut pengarahnya, Ghaz Abu Bakar, beliau sendiri masih belum menerima maklumat rasmi berhubung punca penarikan filem itu, namun ada ura-ura mengatakan ia mungkin akan ditayangkan semula dalam masa terdekat.
“Sejujurnya saya pun masih belum pasti, tetapi ada dengar kemungkinan untuk ditayangkan semula. Bila, itu belum ada pengesahan lagi,” katanya ketika ditemui pada malam Anugerah Festival Filem Anak Muda Kali Ke-5 yang berlangsung di Balai Paseban Agung, Universiti Sains Malaysia (USM), malam tadi.
Beliau menambah, sekiranya filem itu kembali ke pawagam, beliau berharap penonton akan memberi peluang kedua untuk menilai sendiri mesej yang cuba disampaikan, bukan sekadar melihatnya dari sudut hiburan semata-mata.
Ghaz berkata filem berkenaan membawa elemen patriotik serta menampilkan gambaran kerja agensi penguatkuasaan seperti SPRM, selain menyelitkan beberapa mesej sosial yang lebih mendalam.
“Filem ini sebenarnya ada banyak lapisan mesej. Saya harap penonton datang dan faham apa yang cuba disampaikan,” ujarnya.
Beliau turut membuka kemungkinan bahawa Konspirasi akan dibawa ke platform penstriman seperti Netflix, namun menegaskan perkara itu masih dalam perancangan dan belum dimuktamadkan.
Dalam perkembangan lain, Ghaz yang juga merupakan ketua juri untuk festival filem anak muda kali ke-5 dengan tema korupsi turut memuji penganjuran festival filem berkeaan yang disifatkan sebagai antara yang terbaik dalam tempoh lima tahun, meskipun diadakan dalam skala lebih kecil.
Katanya, suasana acara yang lebih intim memberi kesan positif kerana membolehkan interaksi lebih dekat antara peserta, juri dan pihak produksi.
beliau menyifatkan majoriti bakat baharu industri perfileman tempatan sudah bersedia untuk memasuki pasaran kerja, namun masih memerlukan bimbingan mentor serta platform yang sesuai untuk berkembang.
“Sekitar 70 peratus pelajar sudah bersedia, cuma mereka perlukan hala tuju dan bimbingan yang betul,” jelasnya.
Mengulas keseluruhan, beliau berharap karya tempatan seperti Konspirasi terus diberi ruang untuk dinilai secara terbuka oleh penonton serta membuka perbincangan lebih luas mengenai mesej yang disampaikan.

