Selasa, 4 Ogos 2026
spot_img
MuzikSyafinaz Selamat dilantik semula Profesor Adjung UPSI

Syafinaz Selamat dilantik semula Profesor Adjung UPSI

TANJUNG MALIM – Penyanyi dan guru vokal terkenal, Datuk Syafinaz Selamat dilantik semula sebagai Profesor Adjung Tersohor di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi penggal kedua, berkuat kuasa dari 1 Ogos 2026 hingga 31 Julai 2028.

Pelantikan itu mencerminkan kepercayaan UPSI terhadap pengalaman dan kepakaran beliau dalam memperkasa pendidikan muzik serta pembangunan bakat baharu.

Syafinaz menyifatkan pelantikan berkenaan sebagai satu penghormatan besar yang akan digalas dengan penuh komitmen, profesionalisme dan integriti.

“Pelantikan ini merupakan suatu penghormatan yang amat besar serta amanah yang akan saya laksanakan dengan penuh komitmen, profesionalisme dan integriti,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UPSI atas kepercayaan yang diberikan serta bertekad terus menyumbang kepada kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi dan pembangunan modal insan dalam bidang muzik.

Menurutnya, kerjasama antara institusi pendidikan dan industri muzik perlu terus diperkukuh bagi melahirkan lebih ramai bakat berkualiti serta memajukan industri seni negara.

Sebelum ini, Syafinaz memegang jawatan sama bagi tempoh setahun bermula 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2026. Dikenali sebagai “Ratu Soprano” negara, beliau mempunyai pengalaman luas sebagai penyanyi, pengarah muzik, jurulatih vokal dan pendidik, selain pernah dinobatkan sebagai Penyanyi Wanita Popular 1998/99.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-