Isnin, Jun 22, 2026
spot_img
HomeGaya HidupCik B lega tak jadi juara, 'selamat poket' DSV tawar RM150,000 dan...

Cik B lega tak jadi juara, ‘selamat poket’ DSV tawar RM150,000 dan percutian ke Barcelona

SHAH ALAM – Kegagalan meraih gelaran juara sebenarnya membawa kelegaan tersendiri buat penyanyi dan usahawan muda, Cik B, apabila “ganjaran impian” bernilai RM150,000 serta percutian ke Barcelona tidak perlu ditunaikan oleh ibunya, Datuk Seri Vida.

Cik B yang menamatkan saingan di tempat ketiga dalam pertandingan Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) berkata, dia bersyukur rezeki tidak berpihak kepadanya kerana ia secara tidak langsung “menyelamatkan poket” ibunya, Datuk Seri Vida.

“Mama kata kalau saya jadi juara, dia akan hadiahkan RM150,000 dan bawa saya ke Barcelona. Selain itu semua staf pejabat pun akan bercuti,” katanya ketika ditemui media selepas malam kemuncak TTMM2 di Auditorium MBSA, Shah Alam, malam tadi.

“Nasib baik saya tempat ketiga. Selamat juga poket mama,” selorohnya.

Menurutnya, ibunya tidak menetapkan sebarang hadiah jika tidak menjadi juara, namun hubungan mereka yang rapat membolehkan permintaan dibuat secara spontan tanpa halangan.

“Mama tak janji apa-apa kalau bukan juara. Tapi saya boleh sahaja minta, contohnya ‘boleh tak bagi RM30,000 kalau nombor tiga?’ Mama jenis yang sangat supportive, tak pernah cakap tidak,” ujarnya.

Dalam masa sama, Cik B turut berkongsi kejutan hadiah peribadi berupa sebuah Lamborghini Urus Mansory yang diterimanya hasil gurauan sempena ulang tahun kelahiran.

“Waktu mama tanya nak hadiah apa, saya dah tak tahu nak minta apa. Saya main cakap saja Lamborghini Urus. Tiba-tiba dia belikan,” katanya.

“Sekarang saya rasa macam dah membazir pun ada, sebab mama terlalu baik,” tambahnya.

Dalam saingan akhir TTMM2, gelaran juara menjadi milik peserta termuda berusia 9 tahun, Anggrek bersama pengurusnya, Adira Suhaimi, yang membawa pulang RM30,000 dan trofi.

Naib juara pula disandang Hussain bersama pengurusnya dengan hadiah RM15,000, manakala Cik B di tempat ketiga membawa pulang RM10,000 serta trofi.

Kesemua pemenang turut menerima hadiah sampingan termasuk emas tajaan, pakej penginapan dan peruntukan pengurusan serta pemasaran daripada pihak penganjur.

ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-spot_img