Selasa, 30 Jun 2026
spot_img
HomeNasionalManifesto PH PRN Johor dimuktamad, diumum sehari dua lagi

Manifesto PH PRN Johor dimuktamad, diumum sehari dua lagi

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) dijangka melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam tempoh satu atau dua hari lagi selepas dokumen berkenaan dimuktamadkan, kata Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Fuziah Salleh.

Menurut beliau, pengumuman rasmi manifesto itu akan dibuat oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik tarikh pelancarannya ditetapkan.

“Insya-Allah, manifesto PH dijangka akan diumumkan dalam masa sehari dua lagi.

“Manifesto ini sudah dimuktamadkan, kita menunggu tarikh daripada Pengerusi PH,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke kilang SDS Food Manufacturing Sdn. Bhd. di Jalan Kempas Lama, di sini hari ini.

Fuziah berkata, manifesto yang bakal diperkenalkan itu dirangka berasaskan keperluan semasa rakyat Johor dengan memberi penekanan kepada aspek kebajikan serta kesejahteraan masyarakat.

“Yang pastinya, manifesto yang akan dibentangkan ini menepati kehendak dan citarasa rakyat Johor termasuk menyentuh soal kebajikan,” ujarnya.

Mengulas spekulasi sama ada Dr. Maszlee Malik akan dinamakan sebagai calon Menteri Besar Johor sekiranya PH memenangi PRN, Fuziah memilih untuk tidak mendedahkan sebarang nama.

Beliau berkata, pengumuman calon Menteri Besar bukan keutamaan ketika ini kerana keputusan akhir bergantung kepada pelbagai faktor selepas pilihan raya.

“Saya rasa tak perlu kita umumkan, sebab kalau kat Johor ni, umum siapa pun, akhirnya tak semestinya orang tu jadi, kan?

“Jadi, tak perlu kita umum. Okey? Yang penting, prestasi calon itu bagus,” katanya.

PRN Johor bakal menyaksikan persaingan sengit antara gabungan politik utama negara, dengan manifesto dilihat sebagai antara elemen penting dalam menarik sokongan pengundi menjelang hari pengundian.

ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-
Google search engine