GEORGE TOWN – Penguasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan anak Pahang perlu diperkukuh sejak di bangku sekolah bagi memastikan negara tidak ketandusan tenaga mahir pada masa depan.
Perkara itu ditegaskan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohammad Nizar Najib ketika merasmikan Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-44 Perkumpulan Siswa/i Pahang Darul Makmur, Universiti Sains Malaysia (PERDAMA USM), di Dewan Utama Desasiswa (DUD), Kompleks RST, USM, baru-baru ini.
Beliau berkata, pengukuhan asas Matematik di peringkat sekolah rendah merupakan langkah penting bagi membuka lebih banyak laluan pelajar ke aliran STEM di peringkat seterusnya.

“Usaha ini perlu dimulakan sejak di bangku sekolah melalui intervensi yang berkesan, khususnya dalam meningkatkan penguasaan Matematik di peringkat sekolah rendah,” katanya.
Tambah beliau lagi, langkah ini penting agar lebih ramai pelajar berpeluang meneruskan pengajian dalam aliran STEM di peringkat menengah, seterusnya ke institusi pengajian tinggi.
Majlis yang bertemakan “Malam Citra Legasi” itu turut menghimpunkan kepimpinan universiti dan mahasiswa, termasuk Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed serta wakil Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN).
Sementara itu, Penasihat Utama PERDAMA USM, Prof. Dr. Ir. Irfan Naufal Umar berkata, sambutan ulang tahun ke-44 menjadi bukti kejayaan persatuan dalam membentuk mahasiswa yang seimbang dari aspek akademik, kepimpinan dan sahsiah.
“Persatuan ini telah menjadi wadah penting dalam pembangunan kebajikan, kesukarelawanan dan khidmat bakti kepada negeri Pahang,” katanya.
Yang Dipertua PERDAMA USM merangkap Pengarah Program, Nik Norhafizah Nik Mohamad Amin pula menyifatkan kesinambungan persatuan sejak empat dekad lalu sebagai kebanggaan mahasiswa Pahang di USM.
Majlis turut diserikan dengan persembahan dan penyampaian anugerah khas kepada pelajar yang berjaya mengharumkan nama persatuan, sekali gus menyemarakkan semangat ukhuwah dalam kalangan ahli PERDAMA USM.


