Jumaat, 3 Julai 2026
spot_img
HiburanRakan sendiri 'kaut' RM400,000! Safwan Nazri kecewa rumah jadi projek terbengkalai

Rakan sendiri ‘kaut’ RM400,000! Safwan Nazri kecewa rumah jadi projek terbengkalai

- Advertisement -
- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pelakon Safwan Nazri mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM400,000 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan seorang kontraktor rumah yang juga merupakan rakan sendiri, sehingga memaksanya menanggung kos tambahan bagi menyiapkan semula kerja pengubahsuaian kediamannya.

Menerusi perkongsian di Instagram Story, Safwan, 32, berkata dia telah membuat bayaran penuh kepada kontraktor berkenaan, namun projek pengubahsuaian rumahnya terbengkalai sebelum individu terbabit didakwa menghilangkan diri.

“Ada orang ini menipu saya. Yang lagi biadab apabila dia ialah kawan saya sendiri yang ‘scam’. Duit saya habis sebanyak RM400,000 dekat dia. Duit sudah bayar penuh, tetapi rumah pula tergendala,” katanya.

Menurut Safwan, projek yang pada asalnya hanya melibatkan penambahan ruang di bahagian belakang rumah serta sebuah bilik kecil berlarutan sehingga dua tahun tanpa disiapkan.

Keadaan itu memaksanya melantik kontraktor baharu dan mengeluarkan tambahan RM200,000 bagi membaik pulih serta menyiapkan semula kerja-kerja yang didakwa dilakukan secara tidak memuaskan.

“Saya hanya minta dia buat penambahan di bahagian belakang dan satu bilik kecil. Tetapi ambil masa selama dua tahun.

“Sampaikan saya kena ambil kontraktor baharu dan keluarkan lagi RM200,000 untuk buat semula. Banyak yang kena tukar sebab hasil kerjanya cincai.

“Ada yang beritahu saya dia sibuk untuk siapkan rumah lain sampaikan rumah saya jadi macam ini,” ujarnya.

Safwan berkata, kepercayaannya terhadap kontraktor berkenaan berpunca daripada hubungan persahabatan yang terjalin sebelum ini, namun tidak menyangka akan berdepan situasi sedemikian.

Susulan itu, dia memaklumkan telah mengambil tindakan undang-undang dengan menghantar surat tuntutan atau Letter of Demand (LOD) kepada syarikat kontraktor terbabit bagi menuntut ganti rugi.

Bagaimanapun, menurutnya, usaha tersebut masih belum menunjukkan perkembangan apabila individu berkenaan didakwa gagal memberikan maklum balas dan dipercayai mengelak daripada menerima surat tuntutan tersebut.

“Pada awalnya saya percaya dengan dia sebabkan kawan tapi akhirnya kena tipu. Sekarang saya sudah hantar LOD kepada syarikatnya.

“Tapi dia cuba lari dan tidak membaca LOD itu. Kami WhatsApp, buat panggilan semuanya tidak dibalas. Itu sangat biadab dan tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sumber: Instagram

ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-