Rabu, 15 Julai 2026
spot_img
Main Menu MYBERITA
Pilihan RayaBersama tarik diri PRN Negeri Sembilan, alih fokus penuh hadapi pertembungan di...

Bersama tarik diri PRN Negeri Sembilan, alih fokus penuh hadapi pertembungan di Melaka

KUALA LUMPUR – Parti Bersama mengesahkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, sebaliknya memilih mengalihkan sepenuh tenaga dan sumber bagi menghadapi PRN Melaka yang dijangka berlangsung beberapa bulan lagi.

Keputusan itu diumumkan menerusi kenyataan bersama yang ditandatangani Presiden Bersama, Rafizi Ramli, Timbalan Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Setiausaha Agung, Syukri Razab.

Menurut mereka, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor strategik termasuk landskap politik semasa di Negeri Sembilan yang dilihat mempunyai implikasi lebih luas.

“Bersama berpendapat keputusan PRN Negeri Sembilan berkemungkinan mempengaruhi isu-isu lain yang terheret sama dengan pertembungan politik semasa, termasuk konflik yang melibatkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” menurut kenyataan itu.

Justeru, parti berkenaan berpandangan langkah terbaik ketika ini ialah menumpukan sepenuh perhatian terhadap persiapan menghadapi PRN Melaka.

“Mengambil kira isu-isu ini serta kekangan masa dan sumber, Bersama berpendapat adalah lebih strategik agar fokus beralih kepada Pilihan Raya Negeri Melaka yang akan diadakan beberapa bulan dari sekarang.

“Oleh itu, Bersama tidak akan menyertai PRN Negeri Sembilan untuk memberi sepenuh tumpuan kepada PRN Melaka,” kata kenyataan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Bersama memaklumkan mesyuarat persediaan awal bagi menghadapi PRN Melaka akan diadakan pada 21 Julai ini.

Mesyuarat itu bertujuan mengenal pasti kerusi yang bakal ditandingi serta memulakan proses saringan calon supaya senarai calon dapat diumumkan lebih awal sebagai persediaan menghadapi pilihan raya tersebut.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Bersama tidak akan menjadi sebahagian daripada saingan PRN Negeri Sembilan, sebaliknya mengatur strategi lebih awal bagi memperkukuh persediaan menghadapi medan politik di Melaka.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-