Khamis, 16 Julai 2026
spot_img
Main Menu MYBERITA
Piala Dunia 2026Messi cetus kebangkitan Argentina, England tumbang di ambang 'final'

Messi cetus kebangkitan Argentina, England tumbang di ambang ‘final’

ATLANTA – Lionel Messi sekali lagi membuktikan sentuhannya di pentas terbesar dunia apabila mencipta dua bantuan gol untuk membawa Argentina bangkit menewaskan England 2-1 dalam aksi separuh akhir Piala Dunia FIFA 2026, awal pagi tadi.

Kemenangan dramatik itu memastikan juara bertahan berkenaan menempah pertemuan dengan Sepanyol di pentas final, sekali gus membuka peluang mempertahankan kejuaraan dunia yang dimenangi pada edisi lalu.

England yang dibimbing Thomas Tuchel hampir melakar sejarah apabila mendahului pada minit ke-55 menerusi Anthony Gordon.

Jaringan itu hadir hasil gerakan Morgan Rogers sebelum Gordon tenang menewaskan penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez, sekali gus meletakkan Three Lions di landasan terbaik untuk mara ke final.

Bagaimanapun, kelebihan itu gagal dipertahankan apabila Argentina menguasai baki permainan dengan melancarkan serangan bertali arus.

Jordan Pickford beberapa kali muncul penyelamat England apabila menafikan tandukan Nicolas Gonzalez, selain menyaksikan percubaan Alexis Mac Allister sekadar menggegar tiang gol.

Tekanan berterusan akhirnya membuahkan hasil apabila Enzo Fernandez melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti pada minit ke-85 untuk menyamakan kedudukan.

Ketika perlawanan dilihat bakal berlanjutan ke masa tambahan, Argentina melengkapkan kebangkitan dramatik pada masa kecederaan.

Messi yang pantas menguasai bola selepas percubaan Mac Allister terkena tiang segera melorongkan hantaran tepat ke dalam kotak penalti sebelum Lautaro Martinez menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-90+2.

Kemenangan itu menyaksikan Argentina hanya selangkah lagi untuk mempertahankan gelaran dunia, manakala Messi sekali lagi menjadi watak penting dengan mencipta kedua-dua bantuan gol dalam aksi penuh dramatik itu.

Bagi England pula, kekalahan tersebut menambah episod duka di pentas antarabangsa apabila sekali lagi gagal menamatkan penantian menjulang trofi Piala Dunia yang kali terakhir dimenangi pada tahun 1966.

Argentina kini akan berdepan Sepanyol dalam aksi final, manakala England perlu bangkit semula bagi menghadapi perlawanan penentuan tempat ketiga.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-