Rabu | 28/10/2026 | 11:17 pm
HomeTerkiniPPK wanita nekad redah hujan bantu mangsa jatuh gaung

PPK wanita nekad redah hujan bantu mangsa jatuh gaung

-

KUALA LUMPUR – Tindakan berani seorang Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) wanita membantu mangsa kemalangan yang terjatuh ke dalam gaung dalam keadaan hujan lebat mencuri perhatian ramai selepas tular di media sosial.

Kejadian dipercayai berlaku di Lebuhraya Pasir Gudang itu memperlihatkan wanita dikenali sebagai Haslinda Mansor yang sanggup mempertaruhkan keselamatan diri demi memastikan mangsa berada dalam keadaan selamat sementara menunggu bantuan tiba.

Difahamkan, Haslinda ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum terserempak dengan sebuah kenderaan yang terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung berhampiran longkang besar.

Tanpa berlengah, beliau terus bertindak menghulurkan bantuan walaupun berdepan keadaan berisiko, termasuk permukaan licin serta hujan yang masih turun.

Menurutnya, keadaan mangsa agak mencemaskan apabila kenderaan tersebut tersangkut pada dahan pokok dan pintu tidak dapat dibuka, selain bunyi arus air deras di bawah menimbulkan kebimbangan.

“Alhamdulillah saya sempat bercakap dengan mangsa. Dia tidak cedera teruk, cuma terhantuk sedikit. Keadaan hujan menyebabkan saya tidak dapat mendekati dengan lebih dekat kerana permukaan yang dipijak hanyalah lalang dan dahan,” katanya.

Dalam situasi itu, Haslinda turut meminta orang awam yang berada di lokasi agar terus memantau keadaan mangsa sementara menunggu pasukan penyelamat seperti bomba dan ambulans tiba.

Mengulas mengenai tindakannya, Haslinda merendah diri dan menyifatkan ia sebagai tanggungjawab seorang petugas kesihatan untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan.

Ramai menyifatkan tindakan tersebut sebagai cerminan dedikasi warga barisan hadapan yang sentiasa bersedia membantu tanpa mengira situasi, sekali gus menjadi inspirasi kepada masyarakat.

Must Read

Kes kematian Zaharif, bekas pegawai polis terlepas hukuman mati

Kes kematian Zaharif, bekas pegawai polis terlepas hukuman mati

0
IPOH - Selepas hampir tiga tahun menanti keputusan mahkamah, keluarga Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie akhirnya menyaksikan pegawai kanan polis, Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun enam bulan atas kesalahan menyebabkan kematian remaja berusia 17 tahun itu.