KUALA LUMPUR – Pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat mencipta satu lagi pencapaian penting dalam kerjayanya apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) selepas berjaya menggabungkan karya seni lukisan dan busana haute couture dalam satu persembahan pentas sempena acara penutup Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2026 di Esplanade, KLCC, malam tadi.
Pengiktirafan bagi kategori “Gandingan Busana Couture dan Karya Lukisan Terbanyak dalam Satu Pentas Peragaan” itu diberikan selepas Hatta mempersembahkan 10 karya lukisan asli hasil tangannya yang diterjemahkan kepada 10 rekaan haute couture, sekali gus mencipta dimensi baharu dalam dunia fesyen tempatan.
Kejayaan berkenaan turut melengkapkan rekod nasional ketiga buat pereka berusia 44 tahun itu, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara figura fesyen yang berani meneroka pendekatan kreatif di luar kebiasaan.
Lebih bermakna, persembahan berkenaan diadakan bersempena ulang tahun ke-20 pembabitan Hatta dalam industri fesyen tanah air, dengan setiap helaian busana diinspirasikan secara langsung daripada lukisan asal yang dihasilkan beliau sendiri.
Selain mempersembahkan elemen fesyen, setiap karya seni diterjemahkan ke dalam fabrik, siluet, tekstur dan hasil kerja tangan couture, menjadikan pentas peragaan seolah-olah sebuah galeri seni yang hidup.
Pada KLFW 2026, Hatta memperkenalkan dua koleksi utama iaitu Linger yang menampilkan 22 rekaan sedia dipakai (RTW) serta Soul, koleksi couture berkonsepkan fantasi dan avant-garde yang menjadi tumpuan utama malam penutup.
Hatta berkata, minat terhadap seni lukisan yang dipupuk sejak kecil menjadi asas kepada idea menghasilkan koleksi berkenaan.
“Saya suka melukis, lantas minat itu digabungkan dengan rekaan pakaian. Dua puluh tahun dahulu, sebelum menceburi bidang fesyen, saya memang suka melukis.
“Kali ini, lukisan itu tidak kekal di dinding. Ia berjalan di pentas peragaan. Hari ini, penonton dapat merasai pengalaman melihat pertunjukan fesyen dan galeri lukisan pada masa sama.
“Saya mahu tunjukkan kita mampu menghasilkan sesuatu yang lebih daripada biasa dan hasilnya boleh dibanggakan,” katanya.
Beliau berkata, konsep couture yang diketengahkan bukan sekadar menghasilkan pakaian mewah, sebaliknya menjadi medium penceritaan menerusi gabungan seni visual dan fesyen.
Menurutnya, setiap rekaan yang dipersembahkan membawa imaginasi serta ekspresi kreatif yang diterjemahkan dalam elemen dramatik bagi memberikan pengalaman berbeza kepada penonton.
“Sebagai pereka fesyen, perlu ada fantasi dan keluarkan kreativiti, termasuk menghasilkan karya yang pelik kerana kita mahu tunjukkan kita mampu buat sesuatu yang lebih hebat.
“Rekaan mungkin tidak semua orang mahu pakai, tetapi ia membawa identiti kepada jenama dan menggambarkan sejauh mana industri fesyen boleh berkembang,” katanya.
Dalam pada itu, Hatta berkata, aspek kelestarian alam turut menjadi sebahagian daripada falsafah rekaannya apabila memanfaatkan lebihan fabrik dan mengolahnya menjadi karya baharu.
“Saya membuat rekaan baju pada 2015 dan ada lebihan kain. Saya tidak mahu kain itu dibuang begitu sahaja.
“Dari situ saya sedar betapa pentingnya kelestarian alam dan kitar semula. Saya kemudian melukis, memindahkannya kepada grafik dan menjadikannya sebahagian daripada rekaan fesyen,” katanya.
Beliau turut berharap lebih ramai pereka muda berani menampilkan identiti serta kreativiti sendiri tanpa terlalu memikirkan persepsi orang lain.
“Saya berharap pereka muda tonjolkan kreativiti mereka, buat rekaan yang pelik-pelik dan jangan hiraukan apa orang kata,” katanya.
Sementara itu, bagi koleksi RTW Linger, Hatta mengetengahkan inspirasi matahari terbenam menerusi gabungan rona senja, warna pastel serta elemen alam seperti laut dan langit yang disifatkannya sebagai simbol perjalanan kehidupan manusia.
Pada majlis sama, Hatta menerima sijil pengiktirafan MBOR yang disampaikan oleh Pegawai Rasmi MBOR, Siti Hajar Johor.

