KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial, Yuti tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan dirinya mempunyai hutang berjumlah RM1.4 juta dengan seorang usahawan.
Menerusi perkongsian di Threads, Yuti bagaimanapun memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai dakwaan berkenaan dan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak peguam.
“Dakwaan-dakwaan yang tersebar mengenai saya dan syarikat saya kini sedang diuruskan sepenuhnya oleh peguam saya, dan saya tidak akan memberi sebarang komen lanjut selagi ia diuruskan,” tulisnya.
Dalam pada itu, Yuti mengakui perkara yang sedang dihadapinya bukan sesuatu yang mudah, malah turut memberi kesan kepada pasukan serta keluarganya.
Menurutnya, dia menghargai segala ruang dan sokongan yang diberikan orang ramai sepanjang melalui tempoh berkenaan.
“Walau bagaimanapun, saya tidak menafikan bahawa ini bukanlah tempoh yang mudah buat saya, team saya dan keluarga.
“Terima kasih kepada semua yang terus memberi sokongan, dan saya mohon kesabaran semua sementara perkara ini diselesaikan dengan sewajarnya,” ujarnya.
Terdahulu, nama Yuti menjadi perhatian selepas dia didakwa mempunyai hutang berjumlah RM1.4 juta kepada seorang usahawan.
Difahamkan, wang berjumlah RM1.4 juta tersebut diserahkan kepada individu terbabit untuk dijadikan modal bagi menjalankan perniagaan.
Bagaimanapun, Yuti tidak memberikan sebarang ulasan lanjut mengenai dakwaan tersebut dan menegaskan perkara berkenaan kini dikendalikan oleh pihak peguamnya.

