KUALA LUMPUR – Jasa pekerja pembersihan yang menjadi tulang belakang dalam memastikan persekitaran awam sentiasa bersih bakal menerima pengiktirafan lebih tinggi apabila Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencadangkan pemenang Anugerah Pekerja Pembersihan 2026 dicalonkan untuk menerima pingat kebaktian daripada pihak istana.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata cadangan itu dibuat susulan perbincangan beliau bersama Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Dr Wira M Noor Azman Taib, bagi memastikan sumbangan golongan berkenaan dihargai menerusi pengiktirafan yang sewajarnya.
Menurut beliau, langkah itu juga mengambil kira amalan yang telah dilaksanakan kerajaan negeri Pulau Pinang hampir sedekad dalam menghargai jasa pekerja pembersihan.
“Amalan ini yang memberikan penghormatan kepada wira-wira pembersihan negara telah pun dilaksanakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang hampir 10 tahun, dan bagi saya sudah tiba masanya wira-wira pembersihan negara kita di negeri-negeri lain turut diberikan pengiktirafan dan juga penghormatan sewajarnya.”
Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Hari Pekerja Pembersihan di Kuala Lumpur pada Selasa yang turut dihadiri Timbalan Menteri KPKT, Aiman Athirah Sabu.
Nga berkata penerima Anugerah Pekerja Pembersihan 2026 akan dipilih berdasarkan aspek dedikasi, disiplin serta prestasi cemerlang sepanjang melaksanakan tugas dalam sektor berkenaan.
Katanya, pengiktirafan itu penting kerana pekerja pembersihan merupakan golongan yang sering berada di belakang tabir tetapi memainkan peranan besar dalam memastikan kehidupan seharian masyarakat berlangsung dalam keadaan selesa dan teratur.
“Lebih membanggakan, profesion ini disokong oleh tenaga kerja yang matang, berpengalaman, berkemahiran dan setia. Ramai dalam kalangan mereka telah menabur bakti melebihi sedekad, ada yang telah hampir tiga dekad berkhidmat dan bekerja selama 30 tahun dalam sektor pembersihan, malah ada yang mengabdikan sebahagian besar kehidupan mereka dalam profesion ini.
“Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh pihak kebersihan negara kita,” katanya.
Dalam pada itu, Nga berkata usaha mengangkat sektor pembersihan sebagai satu profesion penting perlu disertai penghargaan terhadap mereka yang telah lama menabur bakti, termasuk ketika berdepan keadaan cuaca tidak menentu serta bekerja pada hari cuti umum.
Menurutnya, pekerja pembersihan bertanggungjawab memastikan jalan raya, taman dan kawasan awam sentiasa bersih serta terpelihara demi kesejahteraan masyarakat.
Bagaimanapun, beliau menegaskan usaha menjaga kebersihan negara tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada pekerja pembersihan.
Sebaliknya, katanya, setiap rakyat Malaysia perlu memainkan peranan dengan mengubah sikap dan membentuk budaya lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran.
“Usaha memastikan Malaysia sentiasa bersih perlu bermula dengan mengubah sikap dan membebaskan minda supaya menjadi lebih bertanggungjawab dalam aspek kebersihan,” katanya.
Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan usaha mewujudkan Malaysia yang bersih, selesa dan sejahtera bukan sekadar bergantung kepada perkhidmatan pembersihan, tetapi menjadi tanggungjawab bersama seluruh masyarakat.

