Isnin, 24 Ogos 2026
IKLAN PTPTN

Cabutan Prime Bonanza

Simpan SSPN Prime & rebut hadiah menarik.

Sertai →
Hiburan"Mak, ayah tak sempat tengok", Ziana Zain sebak terima gelaran Datuk

“Mak, ayah tak sempat tengok”, Ziana Zain sebak terima gelaran Datuk

MELAKA – Lebih tiga dekad mengharumkan industri seni tanah air, penyanyi tersohor Ziana Zain akhirnya menerima pengiktirafan bergelar Datuk, namun detik membanggakan itu hadir bersama rasa sebak apabila insan yang paling ingin dikongsikan kejayaan tersebut sudah tiada.

Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain mengakui ketiadaan kedua-dua ibu bapanya untuk menyaksikan sendiri detik bersejarah berkenaan menjadi antara perkara paling menyentuh perasaannya ketika menerima pengiktirafan itu.

“Saya sangat bersyukur, walaupun rasa sedih juga sebab kedua-dua ibu bapa saya tidak dapat tengok. Itu yang saya sedih.

“Selepas lebih 30 tahun berjuang dalam bidang seni ini, akhirnya saya diiktiraf daripada tempat kelahiran kita sendiri. Di mana saya berada pun, walaupun pergi ke mana-mana, kalau orang tanya saya tetap akan bawa nama Melaka itu. Melaka di hati kita, tak lekang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M.) yang membawa gelaran Datuk pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.

Bagi penyanyi yang cukup sinonim dengan kekuatan vokal dan persembahan bertenaga itu, pengiktirafan daripada negeri kelahirannya mempunyai nilai sentimental tersendiri selepas melalui perjalanan panjang dalam industri hiburan.

Ziana berkata, beliau sentiasa membawa nama Melaka walau di mana berada, sekali gus menjadikan penganugerahan tersebut sebagai satu penghormatan yang cukup dekat di hatinya.

Dalam pada itu, penyanyi berkenaan mengakui masih kekok dengan gelaran baharu yang diterimanya dan memerlukan masa untuk membiasakan diri apabila disapa sebagai Datuk.

“Mungkin ambil masa untuk biasakan orang panggil Datuk. Sekarang ini pun saya tak tahu nak kata macam mana, macam mimpi pun ada.

“Anugerah ini bukan sahaja menentukan bakti tetapi bagi saya apa yang saya buat ini adalah tanggungjawab saya kepada peminat dan orang ramai,” ujarnya.

Ziana merupakan antara 189 penerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M.) yang membawa gelaran Datuk pada istiadat berkenaan.

Sepanjang lebih 30 tahun berkecimpung dalam dunia seni, Ziana membina reputasi sebagai antara penyanyi wanita terkemuka negara menerusi deretan lagu popular termasuk Madah BerhelahPuncak KasihAnggapanmu dan Putus Terpaksa.

Beliau juga kekal aktif dalam industri muzik serta terus mendapat tempat dalam kalangan peminat merentasi generasi.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-