Sabtu, 29 Ogos 2026
IKLAN PTPTN

Cabutan Prime Bonanza

Simpan SSPN Prime & rebut hadiah menarik.

Sertai →
PendidikanSUKIPT 2026 medan buru bakat ke AUG, atlet mahasiswa dicabar pecah rekod

SUKIPT 2026 medan buru bakat ke AUG, atlet mahasiswa dicabar pecah rekod

KUALA LUMPUR – Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 bukan sekadar medan memburu pingat, sebaliknya menjadi pentas penting mengenal pasti atlet mahasiswa berpotensi untuk membawa cabaran negara ke Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026.

Peranan itu lebih signifikan apabila Malaysia bakal menjadi tuan rumah AUG 2026 pada Disember depan, sekali gus membuka peluang kepada atlet yang menyerlah sepanjang SUKIPT untuk diketengahkan ke peringkat serantau dan antarabangsa.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Ahmad Rizal Adnan berkata, SUKIPT menjadi medan pertandingan utama di peringkat kebangsaan dalam usaha kementerian mengenal pasti bakat mahasiswa yang mampu pergi lebih jauh.

Menurutnya, atlet yang menunjukkan prestasi cemerlang berpeluang diketengahkan ke kejohanan lebih besar termasuk AUG dan Sukan Universiti Dunia.

“SUKIPT ini merupakan satu platform untuk kita mengenal pasti atlet-atlet yang berpotensi untuk kita ketengahkan, untuk kita bawa untuk AUG, ASEAN University Games yang akan kita adakan pada tahun ini, pada bulan Disember.

“Dan secara kebetulan pula pada tahun ini, kita adalah tuan rumah untuk AUG edisi 2026. Jadi, kita boleh katakan ini akan jadi platform untuk kita,” katanya selepas merasmikan Perkampungan Sukan SUKIPT 2026 di Universiti Malaya (UM), hari ini.

Dalam masa sama, KPT berharap temasya edisi ketujuh itu mampu menyaksikan lebih banyak pencapaian luar biasa termasuk rekod baharu dicipta dalam kalangan atlet mahasiswa.

Ahmad Rizal berkata, keyakinan itu bersandarkan kemampuan atlet mahasiswa negara yang sebelum ini sudah membuktikan keupayaan mereka meraih kejayaan dan mencipta rekod dalam kejohanan lebih besar.

“Dalam mana-mana aktiviti sukan pun, itu antara perkara yang bukan sahaja menjadi harapan penganjur, menjadi harapan kementerian, juga menjadi harapan kepada pelajar ataupun atlet itu sendiri.

“Kalau kita lihat semasa SUKOM yang lepas, kita ada tiga atlet kita yang telah membawa pulang pingat emas dan ada salah seorang atlet itu juga telah memecahkan rekod pertandingan.

“Kita percaya kalau di peringkat sukan berkenaan mereka boleh berjaya, apatah lagi di peringkat sukan IPT kebangsaan ataupun SUKIPT sendiri,” katanya.

Bagi menyemarakkan persaingan, penganjur menyediakan insentif RM20,000 kepada atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan.

Selain itu, insentif RM3,000 masing-masing ditawarkan kepada Olahragawan dan Olahragawati, manakala Pasukan Terbaik Lelaki dan Wanita masing-masing bakal menerima RM7,000.

Dalam pada itu, Ahmad Rizal menegaskan pembangunan sukan dalam kalangan mahasiswa terus diberi perhatian oleh kementerian kerana kecemerlangan di institusi pendidikan tinggi tidak seharusnya tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata.

Usaha berkenaan turut diperluaskan menerusi penganjuran sukan IPT di Sabah dan Sarawak bagi membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa di kedua-dua negeri menyertai pertandingan.

Menurutnya, penganjuran pertandingan di Sabah dan Sarawak dapat mengurangkan kekangan kos yang mungkin dihadapi mahasiswa sekiranya semua pertandingan hanya diadakan di Semenanjung.

Pendekatan itu sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai atlet mahasiswa dari Sabah dan Sarawak mengetengahkan bakat sebelum melangkah ke SUKIPT yang dianggap sebagai kemuncak pertandingan sukan IPT di peringkat kebangsaan.

Sementara itu, Perkampungan Sukan SUKIPT 2026 bukan hanya berfungsi sebagai tempat penginapan dan memenuhi keperluan atlet sepanjang temasya berlangsung.

Sebaliknya, Ahmad Rizal berkata, perkampungan itu turut menjadi ruang membentuk kebersamaan, persahabatan dan semangat kesukanan dalam kalangan mahasiswa daripada pelbagai institusi pendidikan tinggi.

“Perkampungan ini bukan sekadar untuk menyediakan aspek logistik kepada para atlet yang akan bertanding untuk SUKIPT pada tahun ini.

“Perkampungan ini sebenarnya akan membentuk kebersamaan, elemen persahabatan dalam sukan. Kalau kita bercakap soal sukan, kita bukan bercakap soal siapa menang, berapa banyak pingat yang kita kumpul.

“Tapi sebenarnya semangat kesukanan, semangat persaingan secara sihat, itu yang kita harapkan lahir daripada sukan,” katanya.

Mengulas persiapan temasya, Ahmad Rizal berkata, UM selaku tuan rumah sudah melakukan persiapan sejak beberapa bulan lalu termasuk menyediakan perkampungan sukan, kemudahan atlet dan gelanggang pertandingan.

Beliau berkata, semua persiapan kini selesai dengan kemudahan serta gelanggang pertandingan berada dalam keadaan bersedia bagi memastikan kelancaran SUKIPT 2026.

SUKIPT 2026 yang berlangsung bermula hari ini hingga 6 September menghimpunkan seramai 8,244 atlet daripada 64 kontinjen dengan 30 jenis sukan dipertandingkan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-