Selasa, 1 September 2026
IKLAN PTPTN

Cabutan Prime Bonanza

Simpan SSPN Prime & rebut hadiah menarik.

Sertai →
BisnesPeniaga kecil dapat suntikan RM1.2 bilion bermula hari ini

Peniaga kecil dapat suntikan RM1.2 bilion bermula hari ini

PUTRAJAYA – Golongan peniaga kecil, penjaja, peniaga pasar malam dan usahawan dari rumah bakal menerima suntikan tambahan kerajaan apabila RM1.2 bilion disediakan menerusi penambahan kemudahan pembiayaan mikro serta Geran Sejahtera Madani.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersetuju menambah RM1 bilion bagi kemudahan pembiayaan mikro, sekali gus meningkatkan keseluruhan dana yang disediakan untuk tahun 2026 daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion.

Langkah itu dilaksanakan bagi memberi ruang lebih luas kepada pengusaha kecil mendapatkan pembiayaan, terutama mereka yang berdepan tekanan peningkatan kos selain memerlukan modal untuk mengembangkan perniagaan.

Pada masa sama, kerajaan turut menyediakan Geran Sejahtera Madani berjumlah RM200 juta khusus bagi membantu kelompok ekonomi akar umbi termasuk penjaja, peniaga kecil, peniaga pasar malam serta golongan ibu yang menjalankan perniagaan dari rumah.

Anwar berkata, keputusan berkenaan mengambil kira keluhan yang masih diterima daripada kelompok berkenaan meskipun pelbagai bantuan dan kemudahan telah disediakan kerajaan sebelum ini.

“Masih ada keluhan di kalangan peniaga-peniaga kecil, pengusaha-pengusaha kecil, ibu-ibu di rumah yang bekerja dari rumah dan pasar-pasar malam.

“Semua ini dilaksanakan berkuat kuasa 1 September 2026. Inilah dengan semangat perpaduan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya, hari ini.

Tambahan RM1 bilion itu menjadikan kemudahan pembiayaan mikro antara instrumen utama kerajaan dalam menyokong kelangsungan serta pertumbuhan perniagaan berskala kecil sepanjang tahun ini.

Pelaksanaan kedua-dua inisiatif berkuat kuasa Selasa ini dijangka membuka peluang kepada lebih ramai peniaga mendapatkan sokongan kewangan, termasuk mereka yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dan dari rumah.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-