KUALA LUMPUR – Secangkir Cafe di Sungai Karang, di sini, akan menamatkan operasi selepas pemergian pemiliknya, Allahyarham Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, dalam nahas ngeri di Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1), Isnin lalu.
Keputusan berat itu dimaklumkan keluarga Allahyarham menerusi perkongsian di Threads hari ini, dengan menyifatkan ia sebagai pilihan terbaik selepas kehilangan insan yang menjadi tonggak utama perniagaan berkenaan.
“Sayang seribu kali sayang, tapi terpaksa juga kerana nyawa dan roh di kafe tersebut sudah tiada,” katanya.
Menurut keluarga, mereka juga tidak mempunyai kepakaran untuk menghasilkan semula kek yang menjadi identiti Secangkir Cafe kerana setiap kek dihasilkan Allahyarham Sofiya mempunyai keunikan tersendiri dengan menu berbeza ditawarkan pada setiap minggu.
“Kami juga ingin mengumumkan esok, Jumaat, 4 September kami akan buka buat kali terakhir dari pukul 3 petang hingga 9 malam sahaja,” katanya.
Operasi terakhir itu hanya akan memfokuskan kepada jualan kopi dan kek dengan stok yang sangat terhad.
Pelanggan hanya dibenarkan membeli satu potong kek bagi setiap seorang, manakala jualan kopi pula dihadkan kepada 300 cawan sahaja.
Dalam pada itu, keluarga turut memaklumkan mereka akan melelong segala stok dan perkakasan kedai, dengan gambar stok yang tersedia akan dikemas kini pada hari terakhir operasi.
Menurut mereka, hasil jualan berkenaan akan digunakan bagi menyelesaikan sekiranya masih terdapat hutang Allahyarham kepada mana-mana pihak selain melangsaikan perkara yang masih tertunggak.
Keluarga Allahyarham mengakui keputusan untuk menamatkan operasi Secangkir Cafe amat berat, namun merasakan ia merupakan pilihan terbaik selepas kehilangan pemilik yang selama ini mengendalikan perniagaan tersebut.
“Berat, sangat berat keputusan ini tapi kami rasa itulah yang terbaik. Terima kasih kepada semua yang pernah menyokong Secangkir Cafe dari awal dan esok adalah hari terakhir legasi Secangkir.
“Terima kasih semua. Harap dapat uar-uarkan kepada orang ramai. Sekali lagi maafkan kami atas keputusan ini,” katanya.
Terdahulu, Allahyarham Nur Atiqah Sofiya yang merupakan pemilik Secangkir Cafe maut bersama suaminya, Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, dan anak lelaki mereka dalam kemalangan di Kilometer 110.4 LPT1, Temerloh.
Tiga beranak berkenaan menaiki Proton S70 ketika kejadian, manakala seorang lagi lelaki yang menaiki Honda CR-V turut terkorban dalam nahas tersebut.
Kemalangan berantai itu membabitkan 11 kenderaan termasuk bas ekspres, lori tangki simen, trak pikap, kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan utiliti sukan (SUV) dan beberapa buah kereta.
Allahyarham Sofiya difahamkan mempunyai minat mendalam dalam pembuatan kek sebelum mengambil keputusan menceburi bidang perniagaan dan membuka Secangkir Cafe kira-kira dua tahun lalu.
Penutupan kafe berkenaan sekali gus menandakan berakhirnya legasi perniagaan yang dibangunkan Allahyarham Sofiya, selain menjadi kenangan buat pelanggan yang selama ini menyokong Secangkir Cafe.