KUALA LUMPUR – Tanpa pernah menjalani latihan sebagai satu kuartet, pasukan 4×400 meter (m) lelaki Universiti Putra Malaysia (UPM) tetap tampil cemerlang apabila merangkul pingat emas Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 dengan catatan 3 minit 18 saat.
Kuartet UPM yang dibarisi Ramdhani, Zuri, Amir Aiman dan Aidil Azhar membuktikan kekurangan persediaan bersama bukan penghalang untuk mereka menghasilkan larian mantap dalam saingan final.
Lebih menarik, keempat-empat pelari sebelum ini menjalani latihan secara berasingan bersama jurulatih masing-masing dan tidak pernah melakukan latihan khusus acara 4x400m sebagai satu pasukan sebelum turun bertanding.
Ramdhani berkata, mereka tidak mempunyai banyak kesempatan untuk membina keserasian dalam acara berganti-ganti itu, namun masing-masing jelas mengenai tugas yang perlu dilaksanakan ketika perlumbaan.
“Awal persediaan itu kami semua berlatih secara berasingan. Jurulatih pun berbeza dan kami memang tak pernah berlatih 4x400m ini bersama.
“Kami hanya turun dan berlari. Strategi memang sudah disusun sebab kami ada anchor yang sangat-sangat kuat, iaitu Amir Aiman,” katanya kepada MYBERITA.
Menurut Ramdhani, keyakinan terhadap kemampuan Amir Aiman sebagai pelari terakhir menjadi antara faktor penting dalam percaturan UPM untuk memburu kedudukan teratas.
Katanya, tiga pelari terawal diberikan tanggungjawab memastikan pasukan kekal rapat dengan pencabar sebelum baton diserahkan kepada Amir Aiman untuk menyempurnakan perlumbaan.
“Kami memang yakin dengan dia. Kerja kami hanya perlu rapatkan kedudukan dan pelari terakhir akan buat kerja lebih. Itu Amir Aiman,” katanya.
Kemenangan dengan catatan 3 minit 18 saat itu turut membawa makna tersendiri buat Ramdhani apabila diberi kepercayaan jurulatih untuk beraksi dalam perlumbaan final selepas sebelum ini lebih banyak diturunkan pada peringkat awal saingan.
“Perasaan saya sangat gembira sebab ini kali pertama saya berlari dalam final. Biasanya saya hanya berlari di peringkat awal, tetapi kali ini jurulatih beri peluang kepada saya untuk beraksi di final.
“Alhamdulillah, walaupun belum dapat catatan terbaik peribadi, saya tetap bersyukur,” katanya.
Kejayaan tersebut menyaksikan kuartet UPM membuktikan percaturan taktikal, kepercayaan antara pelari dan kekuatan pelari terakhir menjadi ramuan penting untuk menghadiahkan emas acara 4x400m lelaki kepada universiti berkenaan.