KUALA LUMPUR: Kecanggihan sistem keselamatan bernilai berbilion ringgit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak mampu menjamin perlindungan sepenuhnya jika wujud unsur khianat dalam kalangan individu yang mempunyai akses sah ke kawasan operasi.
Pakar Kriminologi Pusat Penyelidikan Dasar (CPR), Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Dr. P. Sundramoorthy berkata, ancaman terbesar terhadap keselamatan lapangan terbang moden bukan lagi semata-mata datang daripada pihak luar, sebaliknya melibatkan ‘orang dalam’ yang menyalahgunakan kepercayaan dan kedudukan mereka.
Menurut beliau, sindiket jenayah terancang lazimnya menyasarkan individu dalam organisasi kerana mereka memiliki akses, kuasa serta pengetahuan mengenai prosedur operasi yang sukar diperoleh oleh pihak luar.
“Berbeza dengan penjenayah luar yang perlu melepasi pelbagai halangan keselamatan, individu dalam organisasi sudah memiliki pengenalan diri, kuasa serta pengetahuan mengenai prosedur operasi. Justeru, ancaman ‘orang dalam’ amat mencabar kerana kelemahannya bukan sekadar terletak pada teknologi, malah turut melibatkan tingkah laku manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu kebocoran keselamatan di KLIA yang dikaitkan dengan perbuatan khianat sehingga membolehkan penyeludupan barangan berbahaya, termasuk dadah, serta terdapat individu tertentu didakwa terlepas daripada pemeriksaan ketat.
Katanya, walaupun KLIA dilengkapi pelbagai teknologi keselamatan moden seperti sistem biometrik, pemantauan pintar dan prosedur pemeriksaan berlapis, faktor manusia masih menjadi cabaran paling sukar dikawal.
“Teknologi mampu mengenal pasti pelbagai risiko, namun ia tidak dapat menghalang sepenuhnya seseorang yang mempunyai akses sah daripada menyalahgunakan kepercayaan dan keistimewaan tersebut secara sengaja,” katanya.
Sundramoorthy berkata, Malaysia terus memperkukuh aspek keselamatan penerbangan melalui peningkatan keupayaan risikan, sistem pemantauan, prosedur pemeriksaan serta kerjasama antara agensi termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Namun, beliau menegaskan tiada individu wajar menerima layanan pemeriksaan yang lebih longgar hanya kerana jawatan, pangkat atau status sosial.
“Penumpang, juruterbang, kru kabin, pihak pengurusan dan kakitangan lapangan terbang hendaklah dinilai secara objektif berdasarkan prosedur keselamatan, petunjuk risikan dan penilaian risiko,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman di peringkat antarabangsa menunjukkan rangkaian jenayah sering mengeksploitasi individu yang mempunyai reputasi baik kerana golongan tersebut kurang menimbulkan syak wasangka.
Sehubungan itu, beliau berpandangan industri penerbangan perlu mengubah pendekatan keselamatan dengan memberi tumpuan lebih besar terhadap ancaman daripada ‘orang dalam’, selain memperkukuh strategi pengurusan risiko secara proaktif.
Tambahnya, pelaksanaan ujian alkohol dan dadah secara rawak terhadap juruterbang, kru penerbangan serta kakitangan yang memegang jawatan kritikal juga perlu diperkasakan sebagai sebahagian daripada kerangka integriti sektor penerbangan.
Menurut beliau, langkah itu perlu disokong dengan tapisan keselamatan berterusan, semakan latar belakang, latihan etika, mekanisme pelaporan sulit, perlindungan pemberi maklumat serta pengurusan risiko berasaskan risikan bagi memastikan keselamatan penerbangan negara sentiasa berada pada tahap tertinggi.

