KUALA LUMPUR – Ibu bapa yang bimbang keadaan jerebu boleh memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah dengan syarat memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Kelonggaran itu diberikan ketika Kementerian Pendidikan (KPM) terus memantau tahap kualiti udara susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan ketika ini.
Fadhlina berkata, kesihatan dan keselamatan murid kekal menjadi keutamaan, selain tindakan di sekolah akan ditentukan berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) rasmi yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Saya faham kebimbangan ibu bapa melihat keadaan jerebu ketika ini.
“Tindakan ketika jerebu dibuat berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, dengan bacaan IPU yang dikeluarkan JAS sebagai rujukan rasmi,” katanya.
Mengikut ketetapan berkenaan, semua aktiviti luar bilik darjah akan dihentikan sekiranya bacaan IPU melebihi 100.
Sekiranya bacaan IPU melepasi paras 200 pula, sekolah di kawasan terjejas akan ditutup bagi mengurangkan risiko terhadap kesihatan murid, guru dan warga sekolah.
Dalam pada itu, Fadhlina memberi jaminan KPM akan terus mengikuti perkembangan bacaan IPU serta situasi semasa dari semasa ke semasa, terutama membabitkan kawasan yang mencatatkan tahap pencemaran udara tinggi.
“Kebimbangan ibu bapa kita dengar. Kesihatan dan keselamatan anak-anak tetap menjadi keutamaan dalam setiap tindakan yang kita ambil,” katanya.
Pelaksanaan langkah berkenaan adalah selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, manakala bacaan IPU JAS kekal menjadi rujukan rasmi dalam menentukan tindakan susulan di institusi pendidikan.
