JOHOR BAHRU – Bermula dengan operasi sederhana menggunakan khemah dan modal yang terhad, Cawan Nostalgia kini melangkah ke fasa baharu apabila tampil dengan konsep mini caravan bagi meningkatkan keselesaan operasi serta menawarkan pengalaman berbeza kepada pelanggan.
Transformasi kedai kopi yang terletak di Taman Setia Indah itu dilakukan secara berperingkat selepas mengambil kira cabaran operasi, keadaan cuaca serta maklum balas pelanggan sejak perniagaan berkenaan mula beroperasi pada Jun tahun lalu.

Pengasas Cawan Nostalgia, Muhammad Alieff Iskandar Mohd Zamri, 23, berkata konsep mini caravan sebenarnya sudah berada dalam perancangannya sejak awal, namun terpaksa dilaksanakan secara berperingkat berikutan kekangan modal ketika memulakan perniagaan.
“Idea dan konsep yang ada sekarang memang menjadi keinginan saya sejak awal memulakan perniagaan.
“Cuma ketika mula berniaga, modal kami cukup-cukup untuk memulakan perniagaan. Jadi, ketika itu memang banyak perkara yang perlu kami fikirkan dan lakukan secara perlahan-lahan,” katanya kepada MYBERITA.
Menurut Alieff, keputusan beralih daripada penggunaan khemah kepada mini caravan turut dibuat selepas mengambil kira faktor cuaca yang tidak menentu sehingga boleh menjejaskan kelancaran operasi dan keselesaan pekerja.

Katanya, meskipun persediaan menghadapi hujan sudah dilakukan sebelum ini, perubahan cuaca secara mendadak termasuk hujan lebat dan ribut menyebabkan penyelesaian lebih praktikal diperlukan.
“Hujan dan ribut kadang-kadang datang secara mengejut. Jadi, saya membuat keputusan untuk menaik taraf kepada caravan bagi memudahkan pekerja menjalankan tugas,” katanya.
Beliau berkata, konsep Cawan Nostalgia yang dilihat hari ini juga bukan dibentuk dalam tempoh singkat, sebaliknya berkembang berdasarkan pengalaman menguruskan perniagaan dan respons pelanggan.
“Konsep yang ada sekarang sebenarnya bukan terus menjadi seperti ini sejak awal, tetapi berkembang mengikut keadaan, pengalaman dan maklum balas daripada pelanggan,” katanya.
Dalam masa sama, pembaharuan turut dilakukan terhadap pilihan menu apabila Cawan Nostalgia memperkenalkan beberapa minuman signature baharu termasuk Strawberry Coconut Matcha Cloud selain pelbagai pilihan lain.
Bagi melengkapkan pengalaman pelanggan, premis itu turut membawa masuk konsep pop-up pencuci mulut pada hujung minggu dengan tiga pilihan diperkenalkan setakat ini iaitu Tiramisu, Dubai Chewy Bites dan Burnt Cheesecake Nutella.

Alieff berkata, pembaharuan yang dilakukan bukan semata-mata bertujuan menjual kopi, sebaliknya beliau mahu membentuk identiti Cawan Nostalgia sebagai sebuah jenama yang mampu meninggalkan pengalaman dan kenangan kepada pengunjung.
“Saya mahu pelanggan mengingati Cawan Nostalgia bukan kerana kopi semata-mata, tetapi kerana pengalaman apabila datang ke sini.
“Tempatnya ringkas, santai dan mempunyai karakter tersendiri. Apabila mendengar nama Cawan Nostalgia, saya mahu mereka terus teringat kepada jenama kami, cawan kami, minuman signature dan paling penting, pengalaman serta memori nostalgia yang membuatkan mereka mahu datang lagi,” katanya.
Anak muda berusia 23 tahun itu yang merupakan pelajar dalam bidang perniagaan turut mempunyai latar belakang keluarga dalam bidang keusahawanan.
Menurutnya, bapanya mengusahakan perniagaan Ais Kacang Special di Larkin Bomba selain sebuah perniagaan kecil dikenali sebagai Awiet Corner.
Pendedahan terhadap dunia perniagaan sejak usia muda itu sedikit sebanyak menjadi asas kepada Alieff untuk membangunkan perniagaan sendiri sebelum memperkukuh identiti Cawan Nostalgia secara berperingkat.
Cawan Nostalgia kini beroperasi dari pukul 7 malam hingga 2 pagi.
