NasionalUMNO N. Sembilan mahu kemelut proklamasi Tuanku Muhriz diselesaikan segera

UMNO N. Sembilan mahu kemelut proklamasi Tuanku Muhriz diselesaikan segera

KUALA LUMPUR – UMNO Negeri Sembilan mahu kemelut berhubung Surat Cara Proklamasi yang didakwa berkaitan usaha menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir diselesaikan segera bagi mengelakkan isu itu terus berpanjangan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, beliau bagaimanapun tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai perkara berkenaan memandangkan tidak lagi berada dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Saya sebagai Ketua UMNO Negeri mengharapkan supaya penyelesaian ini dapat dilakukan dengan kadar segera.

“Saya tidak tahu kerana bukan lagi dalam sistem anggota pentadbiran negeri, jadi kita dapat tahu hanya daripada laporan media dan apa yang telah semua maklum dalam satu dua hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Perasmian Taklimat Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, pada Rabu.

Jalaluddin pada masa sama memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai penjelasan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berhubung dokumen berkenaan.

“Apa dikemuka oleh Menteri Besar, itulah dia kot, apa yang dikeluarkan dan apa yang dikatakan Menteri Besar, saya tiada komen,” katanya.

Terdahulu hari ini, Ismail memaklumkan bahawa beliau menandatangani Surat Cara Proklamasi berkaitan pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam keadaan tidak rela dan secara paksaan.

Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat petang semalam bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut.

Dalam kenyataan sama, Ismail turut menegaskan pendiriannya terhadap kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Saya sekali lagi menzahirkan sokongan penuh serta taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada DYMM Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan berdaulat,” katanya.

Kontroversi berhubung dokumen berkenaan sebelum ini mendapat perhatian selepas Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari Meor Ngah memaklumkan bahawa proklamasi menurunkan Tuanku Muhriz yang ditandatangani Ismail pada 3 Ogos lalu di Port Dickson adalah tidak sah dan tidak boleh berkuat kuasa.

Menurut beliau, Sidang Dewan Keadilan dan Undang pada 31 Julai lalu di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah telah memuktamadkan bahawa pengisytiharan bertarikh 19 April 2026 tidak mempunyai kesan undang-undang dan tidak boleh diguna pakai.

Ia berikutan pengisytiharan berkenaan didakwa tidak memenuhi syarat yang ditetapkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-