PUTRAJAYA – Kematian Noorizwan Zulkefly ketika berada dalam tahanan atau jagaan polis kini menjadi perhatian Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) apabila badan pemantau bebas itu memulakan siasatan bagi mengenal pasti sama ada wujud sebarang salah laku dalam kejadian berkenaan.
Siasatan itu dimulakan susulan rujukan kes oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), seperti dimaklumkan menerusi kenyataan bertarikh 24 Oktober lalu.
IPCC dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, siasatan berkenaan akan meneliti secara menyeluruh fakta, dokumen, keterangan serta keadaan yang berkaitan dengan kematian Allahyarham.
Menurut suruhanjaya itu, proses siasatan akan dijalankan secara bebas dan saksama berdasarkan keterangan yang diperoleh serta disahkan mengikut peruntukan undang-undang.
“Siasatan IPCC dilaksanakan secara bebas, saksama dan berasaskan keterangan yang diperoleh serta disahkan melalui proses yang berkenaan.”
“Dapatan siasatan akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis mengikut peruntukan undang-undang yang terpakai,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, IPCC menegaskan bahawa tindakan memulakan siasatan tidak bermaksud mana-mana pihak telah didapati melakukan salah laku berhubung kematian berkenaan.
“IPCC turut menegaskan bahawa rujukan dan pelaksanaan siasatan ini tidak boleh ditafsirkan sebagai suatu kesimpulan awal bahawa telah berlaku salah laku oleh mana-mana pihak,” katanya.
Menurut IPCC, sebarang penilaian, dapatan atau syor hanya akan dibuat berdasarkan hasil siasatan serta peruntukan undang-undang yang berkaitan.
Dalam pada itu, suruhanjaya berkenaan menjelaskan bahawa Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 (Akta 839) mewajibkan PDRM merujuk kejadian tertentu kepada IPCC, termasuk kes kematian individu ketika berada dalam tahanan atau jagaan polis.
Peruntukan tersebut membolehkan setiap kejadian seumpama itu diteliti menerusi mekanisme pemantauan bebas bagi memastikan aspek tatakelakuan anggota polis diperiksa mengikut bidang kuasa yang ditetapkan.
IPCC turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Noorizwan serta memahami kebimbangan keluarga dan masyarakat terhadap kejadian tersebut.
Suruhanjaya itu memberi jaminan untuk melaksanakan tanggungjawab pemantauan secara telus, berintegriti dan profesional, selain memastikan hak serta kepentingan semua pihak yang terlibat terus dihormati.
Sebarang perkembangan berkaitan siasatan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi IPCC, tertakluk kepada keperluan menjaga kerahsiaan dan integriti proses siasatan. – MYBERITA
