SUBANG JAYA – Sebuah gudang pemprosesan ayam di Puchong dipercayai menggunakan kaedah rendaman air panas sehingga menyebabkan ayam mati sebelum proses sembelihan dilakukan, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap status halal produk berkenaan.
Kegiatan itu terbongkar selepas pihak berkuasa menyerbu premis terbabit menerusi Op Taring Chiller kira-kira jam 12.40 tengah malam pada Jumaat, yang membawa kepada penahanan 12 lelaki warga asing serta rampasan 6,555 kilogram (kg) ayam mentah bernilai RM85,400.
Komander Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, pemeriksaan mendapati premis berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam tanpa sijil halal yang sah.
“Hasil pemeriksaan mendapati ayam berkenaan dipercayai melalui proses rendaman air panas sehingga mati sebelum proses penyembelihan dilakukan.
“Kaedah ini menimbulkan keraguan serius terhadap pematuhan hukum syarak dan status halal produk berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, serbuan turut menemukan 468 bungkusan plastik berisi ayam mentah, manakala 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan yang ditahan dipercayai bekerja dalam aktiviti pemprosesan di premis tersebut.
Siasatan awal turut mendapati kegiatan berkenaan dipercayai telah beroperasi sejak sekian lama dengan bekalan ayam diperoleh daripada beberapa ladang di sekitar Sungai Sepat, Sungai Pelek dan Sepang.
“Bekalan ayam yang diproses kemudian dipercayai diedarkan kepada pelanggan termasuk kedai makan, kedai runcit dan pasar raya di sekitar Damansara, Bangi, Puchong, Cheras, Putra Perdana serta Putrajaya,” katanya.
Mohd Zaki berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian pembekalan dan pengedaran ayam terbabit, termasuk jumlah sebenar yang diproses setiap hari.
Dalam pada itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengambil tindakan mengikut Seksyen 3(1)(a) dan Seksyen 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor pula mengeluarkan notis penahanan kelengkapan operasi mengikut Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, manakala Pejabat Kesihatan Daerah Petaling mengeluarkan notis pembersihan susulan ketidakpatuhan aspek kebersihan dan pengendalian makanan.
Kesemua 12 warga asing terbabit turut dikenakan tindakan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua ayam mentah yang dirampas ditempatkan sementara di pejabat JAIS di Shah Alam untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi bersepadu itu melibatkan kerjasama PDRM, JAIS, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), JAS Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling.
Mohd Zaki menegaskan pihaknya memandang serius sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna serta keyakinan masyarakat terhadap sistem pensijilan halal negara.
“Kerjasama antara agensi penguat kuasa akan terus diperkukuh bagi membanteras aktiviti yang melanggar undang-undang serta memastikan keselamatan masyarakat terpelihara,” katanya. – ASTRO AWANI







