PUTRAJAYA – Pelajar dan tenaga pengajar beragama Hindu di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) diberi kemudahan mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian atau hibrid selama sembilan hari bermula 5 hingga 13 November ini sempena sambutan Deepavali.
Kelonggaran yang diumumkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu bertujuan memberi ruang kepada warga pendidikan tinggi yang meraikan perayaan berkenaan untuk pulang ke kampung halaman dan meluangkan masa bersama keluarga.
Menurut KPT, kemudahan tersebut melibatkan semua IPTA di seluruh negara, termasuk universiti awam, politeknik dan kolej komuniti, bersempena sambutan Deepavali yang jatuh pada Ahad, 8 November ini.
Bagaimanapun, kementerian menjelaskan bahawa pelaksanaan PdP secara dalam talian atau hibrid bukanlah secara automatik, sebaliknya bergantung kepada kesesuaian dan keperluan program akademik di institusi masing-masing.
Ketetapan itu bagi memastikan perjalanan sesi pembelajaran serta aktiviti akademik dapat diteruskan dengan lancar tanpa menjejaskan keperluan pengajian pelajar.
Dalam kenyataan media pada Jumaat, KPT memaklumkan bahawa inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kementerian menjaga kebajikan warga pendidikan tinggi, khususnya mereka yang menyambut perayaan keagamaan.
Pada masa sama, langkah tersebut turut mencerminkan komitmen kementerian dalam menghormati kepelbagaian budaya dan agama yang menjadi tunjang keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
KPT turut merakamkan ucapan Selamat Hari Deepavali kepada seluruh pelajar, tenaga akademik, warga kementerian serta rakyat Malaysia yang beragama Hindu.
“Semoga perayaan Pesta Cahaya ini membawa sinar kebahagiaan, kedamaian dan kesejahteraan kepada semua.
“Deepavali Nal Valthukal,” menurut kenyataan itu. – SIARAN MEDIA KPT







