KUALA LUMPUR – Penyanyi bersuara lantang, Aina Abdul memilih untuk berlapang dada meskipun tidak tersenarai dalam kategori ‘Penyanyi Meletop’ dan ‘Vokal Meletop’ bagi Anugerah Meletop Era (AME) 2025.
Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani berkata, ketiadaan namanya dalam pencalonan tersebut bukanlah sesuatu yang mengecewakan atau perlu diperbesarkan.
“Bagi saya itu di luar bidang kuasa dan kawalan saya. Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa. Tahun ini mungkin tiada rezeki saya, tak mengapa sebab sebelum ini AME pernah memberikan penghargaan kepada saya,” katanya kepada MYBERITA pada sidang media Malam Paling Terhangat sempena Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025) di APW, Bangsar, malam tadi.
Tambahnya lagi, pihak penganjur berhak untuk memilih siapa yang layak dicalonkan mengikut kriteria tersendiri.
“Mereka juga ada hak mahu calonkan sesiapa yang mereka inginkan. Kita sokong sahaja penyanyi yang tercalon. Ini bukan penghujung dunia,” jelasnya tenang.
Dalam pada itu, Aina turut menekankan bahawa bukan semua orang akan menyukai atau membenci seseorang penyanyi secara total, dan beliau menerima situasi tersebut dengan hati terbuka.
“Allah itu adil, jadi bagi saya, yang tak suka saya dan mendoakan kesedihan saya, saya mendoakan yang baik-baik sahaja untuk mereka.”
Walaupun tidak dicalonkan di AME 2025, Aina tetap menerima pengiktirafan apabila namanya tersenarai menerusi dua kategori popular di AMT2025 iaitu Selebriti Ikon Terhangat dan Selebriti Muzik Paling Onz & Terhangat.
Menurut Aina, beliau berharap mampu membawa pulang trofi sebagai tanda penghargaan buat peminat yang sentiasa setia memberi sokongan.
“Sudah tentu saya mahu menang sebab anugerah ini untuk peminat yang tak pernah jemu menyokong, walaupun mungkin tahun ini formula saya agak lewat. Tapi mereka tetap setia menunggu lagu saya.”
Beliau turut berkongsi bahawa album terbaharanya telah mencecah lebih lapan juta penstriman, hasil sokongan padu peminat.
“Terima kasih kepada peminat saya dan harap ada rezeki mereka pada malam Ahad nanti. Mereka yang gigih mengundi, saya hanya jadi medium untuk mereka ‘exercise’ tangan,” katanya sambil berseloroh.
Malam kemuncak Anugerah Melodi Terhangat 2025 bakal berlangsung pada 3 Ogos ini, jam 9 malam secara langsung di TV3 dan siaran strim eksklusif di Tonton. Acara karpet merah boleh ditonton seawal 8 malam menerusi TikTok Melodi Berapi dan TV3 Malaysia.
AMT2025 dikendalikan oleh pengacara popular, Fikry Ibrahim dan Ain Edruce, serta dikuasakan oleh Samsung Galaxy Z Fold7 & Galaxy Flip7, dan dihangatkan oleh All-New Proton X50.

