Selasa • 6 Mei 2025
UTAMAAHAD‘Abang dapat 5A!’, pelajar rai keputusan SPM di pusara keluarga undang rasa...

‘Abang dapat 5A!’, pelajar rai keputusan SPM di pusara keluarga undang rasa sebak

KUALA LUMPUR – Pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Khamis lalu menyaksikan ribuan calon seluruh negara meraikan pencapaian cemerlang mereka, namun tidak semua dapat berkongsi kegembiraan itu bersama insan tersayang.

Bagi Muhammad Faiz Qudry, kejayaan memperoleh 5A dalam peperiksaan SPM diraikan dengan penuh kesayuan apabila dia memilih untuk berkongsi berita gembira itu di pusara ibu, ayah dan adiknya yang telah meninggal dunia.

Menerusi satu video yang dikongsikan di TikTok, Muhammad Faiz dilihat memegang kertas keputusan SPM sambil berdiri di tepi kubur ahli keluarganya.

“Ayah, umi, adik! Abang dapat 5A SPM,” tulisnya penuh emosi di dalam video berkenaan.

Di ruangan kapsyen, Muhammad Faiz meluahkan rasa syukur atas kejayaannya, walaupun mengakui keputusan yang diperolehi itu sederhana.

“Abang akan cuba lagi untuk menjadi yang terbaik walaupun tanpa korang di sisi abang. Abang harap dengan pencapaian abang tu dapat membahagiakan korang! Abang janji abang akan terus berusaha untuk bergelar yang terbaik!” tulisnya lagi.

Kisah menyentuh hati Muhammad Faiz sebelum ini pernah mendapat perhatian ramai apabila dia kehilangan kesemua ahli keluarganya akibat penyakit Pneumonia dan asma — dengan bapanya meninggal dunia pada 2014, diikuti ibu dan adiknya pada 2016.

Rata-rata warganet membanjiri ruangan komen dengan kata-kata semangat dan ucapan tahniah buat Muhammad Faiz atas ketabahan dan pencapaiannya.

“Kami bangga dengan keputusan Abang. Bangga gila kami dengan abang! Terus maju ke hadapan, jangan berhenti belajar,” tulis pengguna TikTok, mikamika.

“Awak membuat air mata saya mengalir. Moga Allah memberikan kejayaan luar biasa di dunia dan akhirat. Harta paling berharga untuk ibu bapa adalah anak soleh yang sentiasa mendoakan mereka,” kongsi pelakon Fouziah Gous.

“Tahniah bang! Terus kuat walaupun tanpa mak, ayah dan adik. Stay strong!” ujar pengguna lain, ntahla3793.

Iklan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

ARTIKEL BERKAITAN

POPULAR