SHAH ALAM – Perjalanan peserta Talk To My Manager Musim Ke-2 (TTMM2), Ammara bersama pengurusnya Eira Syazira, terhenti di peringkat separuh akhir selepas gagal melayakkan diri ke pentas final pertandingan itu, malam tadi.
Ammara yang tampil menyanyikan lagu Intan Payung terpaksa berpuas hati di kedudukan tercorot, sekali gus menutup peluangnya untuk bersaing di final. Turut berada dalam kelompok bawah saingan ialah Adira dan Anggerik.
Pengurusnya, Eira Syazira yang mengambil alih tugas daripada Azad Jasmin, tetap memberikan penghargaan tinggi terhadap usaha Ammara sepanjang pertandingan berlangsung.
Katanya, walaupun berdepan pelbagai kritikan, Ammara tetap menunjukkan komitmen dan tidak mudah patah semangat dalam setiap persembahan.
“Dia memang berjuang habis-habisan. Saya bangga sebab dia tetap kuat walaupun terima pelbagai kecaman.
“Saya selalu ingatkan dia ini hanya pertandingan, dan dia sudah buktikan dia boleh menyanyi dengan usaha yang sangat baik setiap minggu,” katanya.
Namun begitu, penyingkiran tersebut tidak mematahkan semangat Ammara apabila dia dilaporkan menerima tawaran daripada penyanyi popular, Mimifly, untuk bekerjasama dalam projek lagu baharu.
Difahamkan, Mimifly telah menghubungi pihak pengurusan bagi menawarkan lagu kepada Ammara, dan proses rakaman dijangka akan diteruskan selepas tamat program tersebut.
Bagi Ammara pula, pengalaman di TTMM2 disifatkan sebagai titik permulaan dalam perjalanan seni, bukan pengakhiran.
“Saya semakin faham dunia seni ini. Ini bukan pengakhiran, saya akan teruskan belajar seperti biasa dan dalam masa sama fokus rakaman lagu,” katanya.
Sementara itu, TTMM2 bakal melabuhkan tirai Ahad ini dengan lima pasangan finalis bersaing merebut gelaran juara musim ini.

