GEORGE TOWN – Festival Filem Anak Muda (FFAM) Ke-5 di Universiti Sains Malaysia (USM) terus menjadi platform penting dalam mengangkat isu integriti dan rasuah melalui karya kreatif pelajar, apabila 18 filem pendek dari sembilan institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara bersaing dalam edisi tahun ini.
Dengan tema “Korupsi”, FFAM Ke-5 bukan sekadar pertandingan, sebaliknya membuka ruang kepada generasi muda untuk menterjemahkan isu integriti dan salah guna kuasa dalam bentuk penceritaan visual yang lebih segar, kritikal dan dekat dengan realiti semasa.

Pengarah Projek, Muhammad Andi Asyraf berkata, maklum balas peserta menunjukkan festival ini semakin berkembang dan memberi impak positif dari tahun ke tahun, khususnya dalam kalangan pembikin filem muda.
“Peserta ada yang kata setiap kali mereka sertai FFAM, kualitinya semakin baik. Itu antara perkara yang paling saya hargai,” katanya.
Beliau turut memaklumkan penganjuran tahun ini lebih mencabar berikutan kekuatan pasukan sekretariat yang kecil, namun masih mampu digerakkan dengan komitmen tinggi semua ahli pasukan.
Keputusan pertandingan menyaksikan ASWARA muncul juara menerusi filem pendek Yam Behormat, diikuti Kolej Profesional MARA Indera Mahkota di tempat kedua melalui karya Nafsi, manakala tempat ketiga menjadi milik Universiti Teknologi MARA Puncak Perdana menerusi filem Entry.
Dalam pada itu, barisan juri FFAM Ke-5 diketuai oleh pengarah terkenal Ghaz Abu Bakar, Khir Rahman, bersama Sein Qudsi serta wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Samsul Salim.
Penyertaan tahun ini disertai sembilan IPT seluruh Malaysia antaranya Universiti Sains Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Teknologi MARA Puncak Perdana, ASWARA, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Islam Selangor, Universiti Sains Islam Malaysia, International Islamic University Malaysia serta Kolej Profesional MARA Indera Mahkota, sekali gus menjadikan festival ini antara medan pertembungan bakat filem pelajar yang semakin mendapat perhatian.
FFAM Ke-5 dilihat terus memperkukuh peranannya sebagai platform penting dalam melahirkan bakat baharu industri perfileman, di samping menyemarakkan kesedaran terhadap isu integriti melalui medium seni kreatif.

