Khamis, 11 Jun 2026

Mayat lelaki ditemui tersangkut di tebing Sungai Batang Tatau

TATAU – Mayat seorang lelaki dewasa ditemui dalam keadaan terapung dan tersangkut pada ranting di tebing Sungai Batang Tatau di sini, pagi tadi.

Ketua Zon Bintulu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Wan Kamaruddin Wan Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada polis Tatau pada jam 10.03 pagi bagi mendapatkan bantuan mengangkat mayat yang dijumpai orang awam.

“Sebaik tiba di bawah Jambatan Tatau, pasukan bomba bersama polis menurunkan sebuah bot aluminium milik polis sebelum bergerak kira-kira empat kilometer menyusuri sungai ke lokasi penemuan.

“Setibanya di lokasi, pasukan penyelamat menemui mayat lelaki dewasa tersangkut pada ranting di tebing sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat tersebut kemudiannya dibawa ke Jeti Pasar Lama Tatau sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Identiti mangsa masih dalam siasatan dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.05 tengah hari.

Ezza Azira
Ezza Azira
ezza@portalmyberita.com