Jumaat • 2 Mei 2025
UTAMAJENAYAHTerperangkap ajakan 'Bella', lelaki diseksa dan diugut sudah buat laporan polis

Terperangkap ajakan ‘Bella’, lelaki diseksa dan diugut sudah buat laporan polis

JOHOR BAHRU – Seorang pemuda berusia 21 tahun tampil membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa perangkap seorang wanita sebelum dipukul dan diperas oleh sekumpulan lelaki dalam kejadian yang berlaku di sebuah rumah di Pelentong, Johor.

Mangsa, Muhammad Faris Syahmi, mendakwa insiden berlaku pada malam 18 April lalu, selepas beliau menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada seorang wanita Melayu yang memperkenalkan dirinya sebagai “Bella”.

Wanita itu dikatakan meminta mangsa datang ke rumahnya atas alasan mahu ditemani. Tanpa mengesyaki sebarang niat jahat, mangsa bergerak ke Pelentong sekitar jam 9.30 malam pada hari sama.

“Sebaik saya tiba, Bella datang dan mengajak saya masuk ke rumah. Tidak lama selepas itu, tiga lelaki yang tidak saya kenali muncul, salah seorang daripadanya membawa parang. Tiga lagi lelaki turut keluar dari bilik. Tanpa memberi apa-apa sebab, saya terus dipukul guna kayu dan tangan,” katanya dalam laporan polis.

Mangsa turut mendakwa kumpulan berkenaan memeras wang tunai RM3,000 daripadanya. Namun ketika itu, beliau hanya mampu menyerahkan RM500.

Muhammad Faris Syahmi

Bukan sekadar wang, motosikal milik Faris turut dirampas sebelum dia dibawa menaiki sebuah kereta Volkswagen dan dihantar ke rumah kawannya di Taman Mount Austin.

Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami luka dan bengkak di beberapa bahagian badan termasuk bibir atas (tiga jahitan), telinga kiri (enam jahitan), dada dan belakang badan. Mangsa juga telah membuat laporan polis di Balai Polis Plentong.

Sebelum ini MYBERITA melaporkan beberapa klip video yang tular di media sosial baru-baru ini, memaparkan seorang pemuda dipukul, ditumbuk di dada dan ditendang di bahagian sulit oleh sekumpulan lelaki.

Setakat ini, MYBERITA sedang mendapatkan maklum balas rasmi daripada pihak polis berhubung siasatan kes ini.

Iklan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

ARTIKEL BERKAITAN

POPULAR

Klik untuk dapatkan berita pantas dari MYBERITA


This will close in 20 seconds