KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada penganut Katolik di seluruh dunia atas pelantikan Robert Prevost sebagai Pope Leo XIV, menggantikan mendiang Pope Francis yang meninggal dunia pada 21 April lalu.
Dalam satu hantaran di media sosial, Anwar menyifatkan pelantikan tersebut sebagai detik bersejarah buat komuniti Katolik, termasuk di Malaysia, serta menandakan permulaan lembaran baharu bagi Gereja Roman Katolik.
“Saya yakin bahawa ia akan menjadi sumber tekad dan inspirasi yang diperbaharui kepada seluruh penganut Katolik,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia sentiasa menghargai hubungan diplomatik dengan Holy See dan berharap kerjasama dua hala dapat terus diperkukuh berteraskan prinsip saling menghormati, dialog terbuka serta komitmen bersama terhadap keamanan dan maruah insan.
Pope Leo XIV atau nama asalnya, Robert Prevost, 69, merupakan rakyat Amerika Syarikat pertama yang dilantik sebagai pemimpin tertinggi Gereja Roman Katolik.
Pelantikannya berlaku selepas kemangkatan Pope Francis pada usia 88 tahun akibat masalah kesihatan yang berpanjangan.


