Lawatan diplomasi Anwar ke Itali, Perancis dan Brazil mula hari ini

SEPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berlepas ke Itali bagi memulakan siri lawatan rasmi ke tiga buah negara iaitu Itali, Perancis dan Brazil.

Beliau berlepas melalui Kompleks Bunga Raya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar jam 2.20 petang menerusi penerbangan sewaan khas daripada Malaysia Airlines.

Turut mengiringi beliau ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Antara delegasi perniagaan yang menyertai lawatan itu termasuk wakil dari Petronas, Khazanah Nasional Berhad, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Maybank, FGV Holdings Berhad (FGV) dan Weststar.

Di Itali, Perdana Menteri dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya, Giorgia Meloni di Istana Chigi, Rom pada 3 Julai.

Menurut kenyataan Wisma Putra semalam, pertemuan itu akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk menilai perkembangan hubungan Malaysia-Itali serta meneroka peluang kerjasama baharu dalam bidang ekonomi, teknologi pertahanan dan tenaga.

Kedua-dua pihak juga dijangka bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama termasuk Hubungan Rakan Pembangunan ASEAN-Itali, Hubungan Dialog ASEAN-Kesatuan Eropah dan situasi di Asia Barat.

Anwar turut dijadual merasmikan Persidangan Meja Bulat Perkongsian Ekonomi Malaysia-Itali yang akan menghimpunkan pemimpin industri dari kedua-dua negara bagi membincangkan peluang kerjasama dalam pelaburan dan perdagangan dua hala.

Selain itu, Perdana Menteri akan menghadiri perjumpaan bersama pemimpin komuniti Islam di Itali serta mengadakan majlis ramah mesra bersama diaspora Malaysia.

Tahun lalu, jumlah dagangan antara Malaysia dan Itali mencatatkan peningkatan dua peratus kepada RM14.61 bilion (USD3.18 bilion) berbanding 2023.

BACA JUGA:  Sekolah patriotik UMNO terus jadi pilihan, 200 permohonan baharu diterima

Bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, jumlah dagangan terus menunjukkan prestasi positif dengan peningkatan 3.3 peratus kepada RM6.50 bilion (USD1.48 bilion) berbanding tempoh sama tahun lalu.

Itali merupakan rakan dagang kelima terbesar Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah dan pengimport ketiga terbesar minyak sawit Malaysia dari blok tersebut bagi tahun 2024.

Selepas Itali, Anwar dijadual meneruskan lawatan rasmi ke Perancis selama dua hari bermula 3 Julai.

Beliau seterusnya akan menghadiri Sidang Kemuncak BRICS di Rio de Janeiro, Brazil pada 5 Julai.

Ahmad Naufal
Ahmad Naufal
ahmadnaufal@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...