\”Kenalkan anak baru saya\” – Nurulhidayah Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – “Kenalkan anak baru saya, Putri Qisya. Alhamdulillah, Allah permudahkan.” Demikian luahan hati penuh kasih oleh Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid di laman Instagramnya semalam, selepas mengumumkan bahawa beliau telah mengambil Putri Qisya Nur Izzat sebagai anak angkat.

Putri Qisya, 12, menjadi yatim piatu sekelip mata selepas kehilangan enam ahli keluarga tersayang dalam tragedi kereta terbabas ke dalam Sungai Korok, Jitra, Kedah pada Isnin lalu.

Menerusi hantaran tersebut, Nurulhidayah yang juga anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, turut berkongsi gambar manis bersama Qisya sambil menitipkan doa agar kanak-kanak itu membesar menjadi wanita solehah yang cemerlang dan disegani.

“Thethe sayang Qisya, arwah mama Qisya nama Nurul Hidayah. Thethe baru Qisya, Nurulhidayah, masya-Allah,” tulis beliau dalam nada penuh emosi.

Langkah murni itu mendapat pujian dan sokongan ramai netizen yang memenuhi ruangan komen dengan doa serta kata-kata semangat buat Qisya.

“Alhamdulillah, semua sayang Qisya. Jadi anak yang solehah ya sayang. Semoga berjaya dunia dan akhirat,” tulis pengguna @ekinzlee_mustafa.

Sementara itu, pengguna @_matebiru turut menulis, “Masya-Allah, semoga segala yang terbaik mengiringimu setiap langkah adik Qisya. Kami akan sentiasa mendoakan.”

Terdahulu, dalam tragedi menyayat hati itu, ibu bapa Qisya, Mohamad Azim Izat dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, bersama empat adik-beradiknya Putra Rayyan (9), Hawa Adriana (8), Annayla Humaira (7), dan Tuah Haydar (6 bulan) maut selepas kenderaan mereka terjunam ke dalam sungai.

Langkah Datuk Nurulhidayah mengambil Qisya sebagai anak angkat bukan sahaja memberi sinar baharu dalam kehidupan kanak-kanak itu, malah menjadi simbol kasih sayang dan kemanusiaan yang mengharukan rakyat Malaysia.

BACA JUGA:  Bella Astillah sedih, Ayden diejek ‘anak yatim’ di sekolah
Jafnieza Jafri
Jafnieza Jafri
jafnieza@portalmyberita.com

TRENDING

Suspek kes kurung, liwat remaja 14 tahun berjaya diberkas

KUALA LUMPUR - Pemburuan selama lima hari terhadap seorang...

Haroqs hanyutkan coklat ke laut demi anak-anak Gaza

KUALA LUMPUR - Pempengaruh media sosial, Muhammad Hareez Adzrami...

Tiada penyingkiran, Pak Azad & Amarra Sofea terselamat minggu kelima TTMM2

SHAH ALAM - Pasangan Pak Azad dan Amarra Sofea...

‘Travel around the world’ warnai Hari Guru Sekolah Sultan Alam Shah 2026

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Sultan Alam...

Aidiladha di Malaysia disambut 27 Mei ini

KUALA LUMPUR - Umat Islam di seluruh Malaysia akan...