KUALA LUMPUR – Pelakon, Syazani Zikry, 27, menyifatkan penglibatannya dalam filem Angkat sebagai satu cabaran besar yang membuka ruang untuknya menguji kemampuan sebagai pelakon.
Menurut Syazani, dia sedar setiap karya pasti berdepan dengan pelbagai reaksi, namun sebagai pelakon, itu adalah lumrah dunia seni yang perlu dihadapi dengan hati terbuka.
“Sebagai seorang pelakon, kita kena sentiasa sedia dengan backlashes ataupun orang tak suka dan sebagainya sebab pada saya, benda ni perkara biasa. Ini merupakan pekerjaan kami. Apa yang ditampilkan bukanlah cerminan diri sebenar, tapi satu cara untuk menyampaikan dan visualize watak,” katanya kepada MYBERITA ketika ditemui pada sidang media tayangan gala filem Angkat di TGV KLCC, pada Rabu.
Bagi filem Angkat, Syazani membawakan watak Karim, seorang lelaki yang kelihatan lemah-lembut namun menyimpan kisah tersendiri yang berkait rapat dengan tema sensitif melibatkan kematian dan kekeluargaan.
“Walaupun Angkat sebuah filem bergenre dark comedy, ia menyentuh unsur-unsur jenazah, agama dan emosi keluarga. Saya ambil tawaran ni sebab ia lain daripada yang lain, ini peluang untuk saya cabar diri.”
Mengulas lanjut tentang watak yang dimainkannya, Syazani berkata watak Karim bukan mudah untuk dibawakan kerana sarat dengan nilai emosional dan perlukan penelitian mendalam bagi mengelak isu sensitiviti.
“Watak ni agak sukar sebab menyentuh sensitiviti. Kita kena buat kajian betul supaya tak menyinggung mana-mana pihak.”
Bukan sekadar hiburan, Angkat juga menampilkan mesej mendalam tentang hubungan kekeluargaan yang kadangkala renggang akibat konflik, tetapi akhirnya kembali jernih atas dasar kasih sayang.
“Sejauh mana kita bergaduh sebagai adik-beradik, akhirnya kita tetap keluarga. Jadi nak tak nak, kita kena maafkan dan teruskan hidup,” ujarnya.
Menariknya, Syazani turut berkongsi pengalaman penggambaran yang turut diganggu ‘sesuatu’ ketika penggambaran berlangsung di sebuah rumah kampung.
“Ada satu malam tu kami shoot di rumah kampung. Esoknya tuan rumah marah sebab barang-barang berselerak, walaupun sebenarnya dah dikemas. Katanya ada gangguan. Kawasan tu memang ‘keras’ sikit,” katanya.
Filem berdurasi 90 minit ini diarahkan Feisal Azizuddin, ditulis bersama Wong King Wai dan Ellina Abdul Majid, serta dibintangi oleh Firdaus Karim, Sky Iskandar dan Sara Mack Lubis sendiri.
Menariknya, produksi Feisk Production tampil berani menawarkan harga tiket serendah RM10 sempena tayangan rasmi filem bermula 14 Ogos ini.
Menurut penerbit Iskander Azizuddin, langkah itu diambil demi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia dapat menonton karya tempatan yang berani dan berbeza ini.
“Kami tahu cabaran industri sekarang, jadi kami buat keputusan ini supaya Angkat boleh dinikmati semua,” katanya.
Angkat mengangkat tema kekeluargaan, kematian dan perjalanan pulang yang penuh emosi dalam gabungan genre drama dan komedi gelap yang jarang diketengahkan dalam filem tempatan.

