KUALA LUMPUR – Seramai 134,029 graduan atau 62.5 peratus daripada keseluruhan graduan negara tahun lalu dilaporkan bekerja dalam bidang yang mereka pelajari, menurut data Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, angka itu meningkat 4.6 peratus berbanding tahun 2021 dan sekali gus menunjukkan penurunan kadar graduan yang bekerja di luar bidang atau mengalami ketidakpadanan pekerjaan (‘mismatch’).
“Graduan warga Malaysia yang bekerja dalam bidang bagi tahun 2024 adalah seramai 134,029 orang atau 62.5 peratus. Ini menunjukkan terdapat penurunan daripada segi graduan yang bekerja di luar bidang,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Koh Nai Kwong di Dewan Negara hari ini.
Bagi kategori graduan yang bekerja dalam pekerjaan mahir, Mustapha memaklumkan jumlahnya meningkat kepada 110,162 orang atau 66.2 peratus, naik 4.1 peratus berbanding 2021.
Selain itu, kadar graduan belum bekerja dalam lingkungan umur 21 hingga 25 tahun turut merekodkan penurunan ketara kepada 11,164 orang atau 7.3 peratus pada 2024, berbanding 24,443 orang atau 16.1 peratus pada 2021.
“KPT menyambut baik sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030 untuk mencapai 70.1 peratus kadar graduan bekerja setara dengan kelayakan pendidikan,” jelasnya.

