KUALA LUMPUR – Apple sekali lagi mengekalkan tradisi pelancaran global serentak apabila mengumumkan iPhone 17 dan iPhone 17 Pro bakal mula dijual di Malaysia pada 19 September ini, iaitu pada tarikh sama dengan pasaran Amerika Syarikat.
Pengumuman itu dibuat menerusi acara khas bertema Awe Dropping yang berlangsung awal pagi tadi, menyaksikan syarikat teknologi gergasi berkenaan turut memperkenalkan beberapa produk lain termasuk iPhone Air, Apple Watch Series 11, Apple Watch SE 3, Apple Watch Ultra 3 serta generasi baharu AirPods Pro 3.
Bagi pasaran tempatan, tempahan awal (pre-order) untuk iPhone 17 dan iPhone 17 Pro boleh dibuat mulai Jumaat, 12 September, bermula jam 8 malam menerusi laman rasmi Apple Malaysia.
Model asas iPhone 17 hadir dengan paparan 6.3 inci yang lebih besar berbanding 6.1 inci pada iPhone 16, selain menawarkan storan permulaan 256GB – dua kali ganda lebih besar daripada generasi terdahulu. Menariknya, meskipun spesifikasi dipertingkatkan, harga jualan masih dikekalkan di bawah RM5,000 dengan pilihan warna Lavender, Sage, Misty Blue, White dan Black.
Sementara itu, iPhone 17 Pro mengekalkan dua saiz skrin iaitu 6.3 inci dan 6.9 inci bagi varian Pro Max, dengan pilihan storan sehingga 2TB. Apple menawarkan tiga warna eksklusif untuk siri Pro kali ini iaitu Silver, Cosmic Orange dan Deep Blue, dengan harga bermula RM5,499.
Bagi pelanggan yang mahukan perlindungan tambahan, AppleCare+ turut disediakan pada harga RM749 untuk iPhone 17 dan RM949 untuk siri Pro.
Dengan strategi harga yang agresif, rekaan warna baharu serta pengumuman serentak di pasaran utama dunia, langkah Apple ini dijangka merancakkan lagi persaingan telefon pintar premium di Malaysia menjelang hujung tahun.

