PUTRAJAYA – Pelakon, Erysha Emyra memberitahu tidak mahu memperbesarkan sebarang spekulasi mengenai dakwaan wujud perselisihan faham antara dirinya dengan pelakon, Qasrina Karim.
Menurut Erysha atau nama sebenarnya Nur Erysha Emyra Zakaria, 25, hubungan mereka masih baik dan isu yang diperkatakan hanyalah salah faham kecil yang tidak perlu diperbesarkan.
“Saya tiada nak komen banyak sebab perkara itu agak peribadi untuk saya kongsikan secara terbuka. Hubungan kami okay saja, tiada bermasam muka. Sebelum ini pun kami pernah berjumpa di majlis dan saling berhubung,” katanya ketika ditemui di majlis Watch Party drama Rumah Tanpa Luka di Putrajaya, pada Khamis.
Tambah Erysha, sebagai rakan industri, dia tidak mempunyai masalah untuk bergandingan dengan Qasrina dalam mana-mana projek seni pada masa hadapan.
“Saya tiada masalah, okay saja. Saya rasa ramai pernah melalui situasi begitu, cuma dalam kes kami, ia jadi perhatian kerana kami dikenali. Apa pun, kami baik-baik sahaja,” ujarnya.
Dalam pada itu, bintang utama Rumah Tanpa Luka itu juga menekankan bahawa beliau lebih selesa memberi tumpuan kepada kerjaya dan perkembangan seni berbanding melayan gosip yang boleh mencalarkan hubungan persahabatan.
Sebelum ini, wujud tanda tanya dalam kalangan peminat selepas tular dakwaan hubungan akrab antara dua pelakon itu mula retak susulan tindakan mereka saling berhenti mengikuti (unfollow) di Instagram.
Bagaimanapun, Erysha menjelaskan perkara berkenaan tidak menjejaskan kerjasama dan menyifatkannya sekadar salah faham yang tidak perlu diperbesarkan.

