KUALA LUMPUR — Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Datin Seri Heliza Helmi, mencadangkan agar kisah perjuangan rakyat Palestin dimasukkan dalam silibus pendidikan sekolah sebagai usaha menanam kesedaran kemanusiaan sejak usia muda.
Menurut Heliza atau nama penuhnya Nur Heliza Helmi, 39, langkah tersebut bukan sahaja dapat memberi pendedahan awal tentang erti kemanusiaan dan perjuangan, malah mendidik generasi muda menghargai keamanan serta memahami penderitaan rakyat tertindas.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Malaysia kerana terus konsisten mengangkat isu Palestin. Saya berharap selepas ini kisah Palestin dapat dimasukkan dalam silibus pembelajaran anak-anak kita. Biar mereka faham sejak kecil apa makna perjuangan dan erti kemanusiaan sebenar,” katanya ketika berucap dalam Himpunan Solidariti Bersama Gaza yang berlangsung di ibu negara malam tadi.
Pelantun lagu Jom Zikir itu menegaskan, pendidikan merupakan senjata paling kuat untuk menanam rasa empati dan keprihatinan terhadap penderitaan saudara seagama di Palestin, sekali gus mengelak masyarakat daripada leka dengan keselesaan sendiri.
Dalam ucapannya yang penuh emosi, Heliza turut berkongsi pengalaman menakutkan ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza bersama adiknya, Hazwani Helmi, serta aktivis kemanusiaan, Farah Lee.
Laungan “Free, free Palestine!” oleh ribuan hadirin bergema dalam dewan ketika Heliza berkongsi kisah tersebut, sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan dan penderitaan warga Gaza.
Turut tampil berkongsi pentas ialah beberapa aktivis GSF Malaysia seperti Zizi Kirana, Ardell Aryana, PU Rahmat, Ustaz Mad Kecik, dan Nadir Al-Nuri.
Acara bersejarah itu turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Nai’im Mokhtar, dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Hadir sama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, serta Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby.

