Rundingan dengan Trump penting demi kemerdekaan Palestin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hujung bulan ini tidak harus dilihat secara negatif, sebaliknya sebagai peluang penting untuk mengadakan rundingan diplomatik demi kemerdekaan sebenar rakyat Palestin.

Menurut Anwar, meskipun Amerika Syarikat dikenali sebagai sekutu rapat Israel, Malaysia memilih pendekatan diplomasi dan kebijaksanaan dalam mencari penyelesaian terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.

“Ada yang desak supaya tolak Donald Trump datang ke Malaysia. Tapi rundingan diplomatik itu penting untuk kemerdekaan. Amerika itu sokong Israel, tetapi kita nak cari penyelesaian dan penyelesaian itu perlukan kebijaksanaan melalui rundingan,” katanya ketika berucap pada Himpunan Solidariti Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.

Anwar turut mengingatkan bahawa perjuangan membebaskan Gaza tidak boleh digerakkan semata-mata atas dasar emosi, tetapi mesti disertai dengan strategi politik dan kebijaksanaan kepimpinan.

“Harap rakan-rakan faham. Jangan ikut sentimen kita, angkuh seolah-olah kita tahu semua. Hina saya atas nama Pengerusi ASEAN kerana menjemput Donald Trump, itu bukan isunya. Politik harus ada, kebijaksanaan harus ada,” ujarnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa selepas pembentangan Belanjawan pada Jumaat ini, beliau akan mengadakan pertemuan khas bersama pertubuhan kemanusiaan Sumud Nusantara Malaysia bagi membincangkan usaha membuka laluan bantuan di sempadan Rafah, Mesir.

“Minggu depan selepas Belanjawan, saya akan panggil Sumud Nusantara Malaysia untuk ‘pecahkan’ tembok Rafah di Mesir. Selepas berunding, saya akan hubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi supaya laluan misi itu dipermudahkan. Kita mahu beri mesej jelas bahawa Malaysia menyokong perjuangan rakyat Palestin,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung hujung bulan ini dijangka menjadi tumpuan dunia apabila isu kemanusiaan Gaza dan keselamatan serantau dijadikan antara agenda utama rundingan pemimpin.

BACA JUGA:  PM mahu peranan Majlis Media Malaysia diperkukuh demi kebebasan media
Deepa
Deepa
deepa@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...