KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal bersuara emas, Ernie Zakri, sekali lagi mencatat kejayaan cemerlang dalam industri muzik apabila dianugerahkan 3x Platinum Award di Malaysia dan 3x Platinum Award di Indonesia atas jualan digital lagunya yang dihasilkan bersama komposer terkenal, Ade Govinda.
Prestasi ini menegaskan penerimaan hangat karya beliau di peringkat serantau dan antarabangsa. Anugerah berprestij tersebut disampaikan secara kejutan semasa showcase eksklusif Ernie Zakri pada Sabtu lalu di Stage 1, PJPAC, One Utama.
Acara itu turut diserikan kehadiran peminat yang membanjiri ruang persembahan, menambah lagi kemeriahan majlis sambil meraikan kejayaan penyanyi itu.
Dalam ucapannya, Ernie Zakri menyatakan rasa syukur dan terharu atas sokongan berterusan daripada peminat di Malaysia dan Indonesia, yang menjadikan pencapaian ini satu realiti. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan produksi dan semua pihak yang terlibat dalam perjalanan muziknya.
Pengiktirafan berganda ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Ernie Zakri sebagai vokalis terkemuka di rantau ini, malah membuka ruang lebih luas bagi beliau untuk meneroka peluang dan kerjaya di persada antarabangsa.


