KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan kepada Hakim Besar Malaya dan beberapa Hakim Mahkamah Persekutuan dalam majlis penuh istiadat di Istana Negara.
Menurut kenyataan yang dikongsi di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, majlis berkenaan berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil dan dimulakan dengan pengurniaan surat cara pelantikan kepada Hakim Besar Malaya, Datuk Hashim Hamzah.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada empat Hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali, Datuk Collin Lawrence Sequerahdan Datuk Azimah Omar.
Turut hadir menyaksikan istiadat berkenaan ialah Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Utama Wan Ahmad Farid Wan Salleh serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais; Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi; serta Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
Majlis pelantikan ini menegaskan komitmen negara dalam memperkukuh institusi kehakiman dan memastikan kelangsungan tadbir urus berlandaskan keluhuran perlembagaan.


